sukan

Pandelela masih diberi sandaran menang pingat di Kejohanan Dunia

Kuala Lumpur: Persekutuan Renang Malaysia (MAS) meletakkan harapan tinggi kepada gandingan Datuk Pandelela Rinong dan Lee Yiat Qing untuk meraih pingat pada Kejohanan Akuatik Dunia 2025 di Singapura yang akan berlangsung dari 11 Julai hingga 3 Ogos depan.

Pengarah teknikal skuad terjun kebangsaan, Yeoh Ken Nee berkata, meskipun gandingan Pandelela-Yiat Qing masih baharu, beliau tetap optimis pasangan berkenaan yang akan bertanding dalam acara 10 meter (m) platform seirama wanita mampu menghadirkan kilauan pingat.

“Kita masih meletakkan harapan kepada Pandelela dalam acara seirama. Biarpun pasangannya, Yiat Qing, kali pertama menyertai kejohanan ini, mereka tetap menjadi sandaran kita untuk meraih pingat.

“Yiat Qing ialah juara 10m platform Sukan Sea lalu (Kemboja 2023), jadi kami percaya pengalaman itu cukup untuk membantunya memberi saingan,” katanya pada sidang media MAS di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Sementara itu, penerjun muda negara, Bertrand Rhodict Lises yang pernah beraksi di pentas Sukan Olimpik Paris 2024, tidak akan menyertai kejohanan berkenaan selepas gagal melepasi sistem pemilihan atlet berdasarkan Skor Kelayakan Minimum (MQS).

“Memang sangat jelas kenapa kami tidak memilih Rhodict kerana semuanya berdasarkan MQS. Dia memang fokus pada acara seirama tetapi malangnya rakan sepasukannya mengalami kecederaan. Selain itu, dia juga tidak layak dalam acara individu.

“Jadi kami tak dapat menghantarnya ke kejohanan dunia dan kami juga tidak dapat memberi justifikasi kepada pihak MSN bahawa dia layak atau menunjukkan prestasi baik, kerana MSN memerlukan atlet yang benar-benar layak bersaing dalam perebutan pingat, bukan sekadar ambil bahagian,” katanya.

Selain itu, Malaysia turut menyenaraikan lima penerjun lelaki ke kejohanan berkenaan dengan sasaran sekurang-kurangnya mara ke final dalam setiap acara.

Antara nama yang disebut termasuk Enrique Harold Maccartney dan Elvis Priestly Anak Clement dalam acara 10m platform seirama lelaki, manakala Syafiq Puteh mengetuai cabaran dalam papan anjal individu lelaki. Dua penerjun muda, Nurqayyum Nazmi Nazim dan Yong Rui Jie, turut tersenarai dalam kategori papan anjal, namun pemilihan untuk acara 1m dan 3m masih belum dimuktamadkan.

“Untuk atlet yang pertama kali menyertai kejohanan dunia, kita lebih kepada memberi pengalaman supaya mereka bersedia menghadapi Sukan SEA nanti,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, MAS mengumumkan bahawa presiden, Datuk Seri Shahidan Kassim, Timbalan Presiden, Marilyn Chua, Naib Presiden, Anthony Ang Kang Keam dan Penolong Setiausaha, Nurul Huda Abdullah mengekalkan jawatan masing-masing selepas menang tanpa bertanding.

sumber:- HM

AGM MAS yang dijadualkan akan berlangsung pada 28 Jun ini, memperlihatkan persaingan enam penjuru untuk merebut lima ahli jawatankuasa badan induk itu. Antara calonnya ialah Tasha Jane Taher Ali (Pulau Pinang), Goh Kah Yi (Negeri Sembilan), Dr Chee Pao Kam (Kedah), Haris Lua Abdulla (Johor), Sung Jun Hao (Melaka) dan Zulfikry Wahi (Kuala Lumpur).