KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin membuatkan gandingan nombor dua dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping bermandi peluh sebelum mereka terpaksa akur tewas dalam aksi final Masters China, sebentar tadi.
Pang Ron-Su Yin yang menghuni ranking ke-23 dunia memberi tentangan sengit kepada wakil tuan rumah itu sebelum tewas dalam pertarungan tiga set 23-21, 23-25, 16-21 pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Shenzen.
Pasangan negara itu hampir merangkul gelaran juara apabila mereka memegang mata akhir ketika mendahului 22-21 di set kedua selepas menang set pertama tetapi gagal untuk menyudahkannya.
Meskipun tidak berjaya menjadi juara tetapi pencapaian naib juara dalam kejohanan bertaraf Super 750 kali ini adalah yang terbesar dilakar Pang Ron-Su Yin sejak mula digandingkan pada November tahun lalu.
Mereka beraksi cemerlang sepanjang kejohanan minggu ini apabila turut menyingkirkan pasangan nombor tiga dunia dari China, Jiang Zhenbang-Wei Yaxin dan nombor tujuh dunia dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet dalam laluan ke pentas final.
sumber:-BH
Selaku naib juara, Pang Ron-Su Yin membawa pulang hadiah wang tunai AS$40,250 (RM179,834) manakala Yan Zhe-Dong Ping meraih AS$85,100 (RM380,221) sebagai juara.