KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin mengakui sedang berusaha mendapatkan kembali rentak permainan terbaik selepas kekalahan di Masters China tahun lalu sedikit sebanyak menjejaskan prestasi mereka.
Bagi Su Yin, kekalahan di pentas final itu menyebabkan tahap keyakinan gandingan ke-13 dunia itu semakin berkurangan.
Katanya, mereka sudah cuba bangkit dan memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan, tetapi segala perancangan itu dilihat sukar dilaksanakan di dalam gelanggang sehingga menyebabkan kesilapan mudah dilakukan dan menyukarkan wakil negara itu untuk meraih kejuaraan sulung.
“Mesti ada (ganggu keyakinan) sedikit kerana kami seperti tidak dapat menampilkan aksi yang diharapkan ketika dalam kejohanan. Bagi saya, memang ada sedikit kesan terhadap prestasi saya.
“Saya harap kami boleh memenangi gelaran kerana kami sentiasa bekerja keras dalam sesi latihan bagi mencapai sasaran,” katanya.
Prestasi Pang Ron-Su Yin dalam enam bulan pertama tahun ini merudum agak teruk apabila mereka tersingkir sebanyak lima kali di pusingan pertama dalam lapan kejohanan yang disertai dan hanya mampu mara ke pusingan kedua sebanyak dua kali sahaja.
Sementara itu, menjelang Terbuka Jepun minggu depan, Su Yin mengakui berasa sedikit tertekan kerana mereka sudah berehat agak lama selepas kali terakhir bersaing di Terbuka Thailand pada Mei lalu.
sumber:- HM
“Persiapan saya dan Pang Ron berjalan dengan baik, tetapi untuk dapatkan keputusan terbaik, kena tengok di sana nanti. Bukan takut, tetapi agak risau dengan prestasi kerana sudah lama tidak menyertai kejohanan,” katanya.