KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky berharap beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin dapat mengubah cara berfikir kepada lebih positif bagi mengatasi rasa bimbang setiap kali beraksi menjelang Kejohanan Dunia di Paris bermula 25 hingga 31 Ogos ini.
Jelas Rexy, prestasi beregu campuran negara itu terutama Su Yin dilihat statik sejak akhir-akhir ini yang berpunca daripada rasa bimbang mereka setiap kali turun beraksi.
“Prestasi mereka memang nampak statik. Saya rasa pertamanya kerana Su Yin belum dapat mengawal fikirannya.
“Kalau dahulu dia beraksi tanpa perlu banyak difikirkan, tapi sekarang jangkaan orang ramai terhadap mereka berdua agak tinggi.
“Ia menyebabkan mereka berasakan tidak boleh kalah dalam setiap perlawanan dan itu memberi kesan kepada prestasi mereka.
“Sekarang Su Yin tidak lagi seperti yang dulu iaitu lebih berani dalam permainannya, tetapi sekarang agak mendatar.
“Inilah perkara yang saya nampak dan segala-galanya kembali kepada cara berfikir pemain itu sendiri,” katanya.
Jelas Rexy, prestasi Pong Ron-Su Yin dilihat mula merudum sejak Terbuka Malaysia, Januari lalu ketika tersingkir seawal pusingan pertama.
Su Yin bergelut dengan prestasi tahun ini bersama Pang Ron dan mengalami kekalahan pada pusingan kedua di tangan juara Terbuka Macau, Mathias Christiansen-Alexandra Boje dari Denmark, baru-baru ini.
Ia kali kesembilan mereka tersingkir awal tahun ini dan hanya mara sehingga suku akhir sebanyak dua kali iaitu di Masters Indonesia dan Masters Orleans.
Pang Ron-Su Yin menamatkan saingan selaku naib juara di Masters China pada November lalu, tetapi prestasi mereka tahun ini sehingga mencetuskan kebimbangan.