PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menganggap bekalan satu gol sudah memadai selepas hanya mampu menang 2-1 ke atas Kuching City FC pada separuh akhir pertama FA di Stadium Negeri, Sarawak kelmarin.
Munoz yang turut menghamburkan pujian kepada Kuching City yang dilabel sebagai pasukan berkualiti, mengakui gembira kerana mampu melunaskan misi penting untuk memastikan kemenangan pada perlawanan pertama.
“Pasukan kami agak keletihan selepas (harungi) banyak perlawanan dalam tempoh sebulan. Dalam beberapa ketika, mereka (Kuching City) mempunyai intensiti yang lebih tinggi dan kami menghadapi kesukaran dalam situasi itu.
“Kami tahu konteksnya iaitu setiap kali bermain di sini, ia adalah perlawanan yang cukup sukar. Perkara paling penting kami kini mempunyai kelebihan satu gol,” katanya.
Bergson da Silva yang bersaing hebat dengan seorang lagi penyerang JDT, Jairo da Silva dalam perebutan Kasut Emas Liga Super, terus membuktikan sentuhan berbisanya apabila meledak dua gol Harimau Selatan, manakala jaringan tunggal The Cats dihasilkan oleh Petrus Shitembi.
Bagaimanapun, Munoz berpendapat Harimau Selatan tiada jalan pintas kecuali menggandakan usaha untuk tampil lebih baik dalam aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 30 November ini.
“Bergson adalah pemain terbaik pasukan musim lalu dan kali ini dia menghasilkan gol penting. Sekarang kami perlu teruskan apa yang kami lakukan sekarang,” kata Munoz.