KUALA LUMPUR: Selepas menjadi pasukan tunggal dari Asia Tenggara bersaing pada pusingan terakhir kelayakan Piala Dunia 2026, Indonesia turut mencuri tumpuan dalam kejohanan peringkat remaja Asia.
Indonesia mencipta kejutan besar dalam Piala Asia bawah 17 (B-17) tahun apabila berjaya mengesahkan tiket ke suku akhir dalam kejohanan yang sedang berlangsung di Arab Saudi.
Malah, kejayaan itu turut menyumbang pencapaian lebih besar buat skuad muda Garuda apabila mereka meraih tiket ke Piala Dunia B-17 yang akan berlangsung di Qatar November depan.
Skuad kendalian Nova Arianto ketika ini berada di kedudukan teratas Kumpulan C selepas merekodkan kemenangan bersih dalam dua aksi awal termasuk mengejutkan gergasi Asia yang juga juara dua kali, Korea Selatan 1-0 dan menundukkan Yaman 4-1.
Kejayaan yang dilakar Indonesia itu dianggap memberi tamparan hebat buat negara ASEAN yang lain termasuk Malaysia untuk mencari formula terhadap program pembangunan seterusnya melahirkan pemain muda terbaik.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim menyifatkan Malaysia seharusnya berasa tercabar dengan kejayaan Indonesia yang menunjukkan program pembangunan mereka membuahkan hasil positif.
Zulakbal yang juga Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjelaskan kejayaan Indonesia juga harus dijadikan sebagai titik kebangkitan untuk bola sepak Malaysia.
Beliau berkata, semua pemegang taruh perlu bangkit dari tidur dan mencari formula baharu yang boleh meletakkan Malaysia setaraf dengan pasukan gergasi ASEAN terutama dari aspek pembangunan untuk melahirkan pemain pelapis Harimau Malaya.
“Jika kita benar-benar ingin majukan bola sepak Malaysia, kita patut berasa tercabar dengan kejayaan Indonesia. Mereka sudah berjaya tewaskan pasukan besar seperti Korea Selatan, kita perlu berasa tergugat.
“Ia bermakna mereka menemui formula untuk menang dengan pasukan besar walaupun di peringkat bawah umur. Peningkatan ditunjukkan Indonesia mungkin menambah kesukaran untuk kita menguasai saingan peringkat bawah umur di ASEAN, apatah lagi di Asia.
“Kita perlu ada satu ‘kepala’ kepada pergerakan bangunkan pemain muda dan menjadikan penyelidikan saintifik sebagai pendekatan hala tuju itu. Kita tidak boleh lagi main agak-agak, tapi harus berpandukan kepada satu polisi berasaskan kepada sains.
“Kebetulan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dipimpin pengurusan baharu, Ketua Pengarah MSN (Majlis Sukan Negara) juga orang baru, jadi mereka boleh duduk dan bincang hala tuju dengan bantuan pakar sains sukan termasuk dari universiti.
“Ia selaras dengan minat Perdana Menteri terhadap bola sepak dan memberikan peruntukan besar kepada sukan itu. Jadi kita rangkum sekali jadi gerakan bersepadu untuk majukan bola sepak untuk jangka masa panjang,” katanya kepada BH Sukan.
Selain Indonesia, dua lagi pasukan Asia Tenggara, Thailand dan Vietnam turut bersaing dalam Piala Asia B-17 yang mana skuad Gajah Perang sudah tersingkir apabila menghuni tangga tercorot Kumpulan A manakala Naga Emas di kedudukan ketiga Kumpulan B dan wajib menang ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk ke suku akhir.