KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Pau Marti Vicente tidak cemas walaupun kehilangan tiga tonggak menjelang aksi persahabatan antarabangsa menentang India di Stadium Gachibowli, Hyderabad esok.
Ia susulan skuad negara ketika ini tanpa Arif Aiman Hanapi, Matthew Davies dan Feroz Baharudin selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melepaskan mereka kembali ke kelab, Johor Darul Ta’zim.
Vicente menjelaskan, skuad Harimau Malaya ketika ini mempunyai ramai pemain berkebolehan yang mampu menggalas tanggungjawab apabila turun menentang lawan yang berada di ranking ke-125 dunia itu.
Pengendali dari Sepanyol itu berkata, fokus skuad negara ketika ini adalah mahu mencipta kemenangan menentang India sekali gus menjadi tonik tambahan sebagai persiapan untuk mengharungi Piala ASEAN 2024, bulan depan dan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac tahun depan.
“Arif Aiman adalah pemain yang hebat, namun kami di sini sebagai satu pasukan yang berkemampuan meraih keputusan positif. Fokus kami adalah kepada pemain yang kami ada dan melakukan persiapan untuk beraksi dengan baik.
“Kedua-dua pasukan berada tidak jauh dalam ranking FIFA, jadi kita jangka satu perlawanan yang sengit. Ini juga peluang untuk kami berkembang dan memperbaiki ranking,” kata Vicente pada sidang media praperlawanan, hari ini.
Harimau Malaya yang berada di ranking 133 dunia hadir ke Hyderabad dengan motivasi yang baik selepas menewaskan Laos 3-1 dalam aksi persahabatan di Bangkok, Khamis lalu.
Kali terakhir Malaysia dan India bertembung adalah pada Oktober tahun lalu dalam Pestabola Merdeka 2023 yang menyaksikan Harimau Malaya menang 4-2.
Sementara itu, kapten Harimau Malaya, Dion Cools mengakui teruja untuk beraksi di hadapan lebih 20,000 penyokong yang dijangka hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan Malaysia dan India.
sumber:- BH
“Sebagai pemain, kami sudah biasa dengan stadium yang dipenuhi penyokong sama ada di gelanggang sendiri atau tempat lawan. Esok kami jangka atmosfera yang hebat dan kami bersedia untuk cabaran ini,” katanya.