Kuala Lumpur: Penyerang naturalisasi negara, Paulo Josue bersedia menggalas tanggungjawab mengemudi jentera hadapan menjelang aksi menentang Laos dalam Kelayakan Piala Asia 2027 di Vientiane, pada 9 Oktober ini.
Kem Latihan pasukan dijangka bermula Isnin ini dan sentuhan Josue amat diperlukan selepas tujuh pemain warisan digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), minggu lalu.
Jelas ayam tambatan Kuala Lumpur City FC (KL City) itu, penggantungan berkenaan amat mengecewakan namun dia menegaskan perjuangan harus diteruskan walau tanpa kehadiran mereka.
“Sudah pasti saya sedih dengan nasib yang menimpa mereka sebagai seorang rakan. Kesemua mereka ini adalah pemain berkualiti dan juga rakan yang baik.
“Saya berharap isu ini dapat diselesaikan segera. Perjuangan mesti diteruskan, sama ada dengan mereka atau tanpa mereka,” katanya yang menerima taraf kewarganegaraan pada 2023 lalu selepas beraksi lebih daripada lima tahun di negara ini.
Jumaat lalu, Jawatankuasa Tatatertib FIF menggantung tujuh pemain daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan berkaitan pemalsuan dokumen manakala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pula didenda.
Tujuh pemain berkenaan adalah penyerang berbisa Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.
Selain digantung, setiap pemain turut dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) dan FAM pula perlu membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta).