KOTA KINABALU: Dua jaringan yang diledak Terengganu FC (TFC) pada babak pertama ketika menentang Sabah dalam aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Likas, malam tadi, dianggap sudah mengesahkan ‘tiket awal’ buat skuad Penyu ke separuh akhir.
Ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbrucker berkata selepas dua gol itu, pasukannya tidak lagi bermain dengan kekuatan sebenar mereka kerana sudah mengumpul agregat besar 6-0.
Dia bagaimanapun mengakui Sabah FC sepatutnya layak mendapatkan gol pada perlawanan itu berdasarkan beberapa peluang yang diperolehi mereka, namun gagal disudahkan dengan jaringan.
“Dua gol dalam separuh masa pertama malam ini (tadi) sudah menunjukkan keputusan siapa pemenang (aksi suku akhir Piala FA) dan selepas itu kami tidak lagi bermain dengan kekuatan penuh.
“Saya boleh berpuas hati dengan corak bertahan, tetapi secara jujur saya beranggapan Sabah juga layak mendapatkan gol. Namun, mereka terlepas empat atau lima peluang yang baik,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
TFC yang hadir ke Kota Kinabalu dengan membawa bekalan selesa selepas meraih kemenangan 4-0 pada aksi pertama, minggu lalu, menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama menerusi Safawi Rasid pada minit ke-10 dan Akhyar Abdul Rashid (minit 42).
sumber:-BH
Skuad Penyu kemudian menambah satu lagi gol pada separuh masa kedua hasil sepakan percuma Marin Pilj pada minit ke-86 untuk mengesahkan kemenangan 3-0 dan mara bergaya ke separuh akhir dengan agregat 7-0.