SEREMBAN: Dua bekas pemain kebangsaan bakal memperkasakan kekuatan skuad Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026, yang dijadual akan memulakan aksi pada 8 Ogos depan.
Mereka ialah pemain tengah, Mohamad Irfan Fazail dan penjaga gol berpengalaman, Ifwat Akmal Chek Kassim.
Perkembangan terkini itu dikongsikan jurulatih PDRM FC, Eddy Gapil, yang menjelaskan pihaknya ketika ini sedang dalam persiapan membentuk skuad mantap bagi menghadapi kancah Liga M musim ini, yang berbaki kira-kira sebulan lagi.
Katanya, buat setakat ini hanya dua pemain berpengalaman terbabit yang diambil kelab berkenaan untuk memperkuatkan pasukan dengan kedua-duanya itu telah menandatangani kontrak semusim.
“Setakat ini, dua bekas pemain kebangsaan itu yang kita bawa masuk untuk mengisi posisi penting dalam pasukan. Kita merancang untuk mendapatkan khidmat beberapa lagi pemain berpengalaman, namun akan bergantung kepada sumber kewangan kelab.
“Kita tidak boleh ambil pemain sesuka hati, perlu mengambil kira faktor kewangan kelab terlebih dulu supaya tidak menimbulkan masalah pada masa hadapan,” kata Eddy hari ini.
Irfan, yang kini berusia 34 tahun, pernah terpilih mewakili pasukan kebangsaan dan beraksi dalam tiga perlawanan persahabatan antarabangsa serta bermain sekali dalam kejohanan Piala AFF Suzuki 2016.
Bekas pemain Johor Darul Ta`zim (JDT) ini menyertai Sabah FC secara pinjaman pada musim 2022 dan kekal sehingga musim lalu.Sepanjang bersama Sabah, pemain kelahiran Pontian ini beraksi dalam 14 perlawanan Liga Super dan menjaringkan satu gol.
Eddy berkata, Ifwat pula adalah bekas penjaga gol Kedah Darul Aman (KDA) FC yang diwakilinya sejak 2016 dan telah meraih beberapa trofi termasuk Piala Malaysia 2016, Piala FA 2017 dan 2019 selain pernah menerima anugerah Penjaga Gol Terbaik pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2017.
Menurutnya, penjaga gol berusia 28 tahun ini pernah mewakili skuad Harimau Malaya pada 2017 dan beraksi pada temasya Sukan SEA pada tahun yang sama.
“Kita yakin kehadiran kedua-dua pemain berpengalaman ini akan memberi impak positif kepada kekuatan pasukan dalam mencari rentak terbaik pada saingan sama ada Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia,” katanya.
Mengulas mengenai tujuh pemain import yang bakal menyertai skuad Sang Saka Biru, Eddy berkata ia membabitkan masing-masing dua pemain pertahanan dan penyerang serta tiga pemain tengah.
“Kebanyakan pemain import terbabit beraksi dengan kelab luar negara kecuali seorang yang pernah beraksi dalam liga kita,” katanya, yang memaklumkan nama pemain import terbabit akan diumumkan apabila mereka sudah bersama pasukan.