SEREMBAN: Prestasi cemerlang Bruno Suzuki dalam beberapa perlawanan membuka peluang untuknya menerajui jentera serangan PDRM FC ketika menentang Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam esok.
Penolong jurulatih PDRM FC, Eddy Gapil menjelaskan beliau akan melakukan perubahan ke atas jentera serangan selepas menyaksikan kegagalan pemain memanfaatkan peluang ketika menentang Sabah FC.
“Melihat kepada aksi Bruno dalam dua perlawanan menentang Negeri Sembilan FC dan Sabah FC, prestasinya sangat baik apabila dia agresif membantu serangan pasukan selain berjaya menjaringkan gol.
“Saya tidak menolak kemungkinan mengekalkan Bruno di posisi serangan pada pertembungan dengan TFC.
“Namun saya sedang menilai gandingan terbaiknya sama ada dengan Ifedayo (Olusegun), Shahrel Fikri (Md Fauzi) atau Chidi Osuchukwu, yang kini sudah cergas sepenuhnya,” kata Eddy.
Jelas pengendali itu, beliau menuntut pemain skuad Sang Saka Biru dapat mempamerkan aksi terbaik dan menunjukkan kebangkitan.
“Sasaran kita adalah untuk mendapatkan tiga mata, tapi saya akui bukan mudah berdepan TFC kerana barisan pemain pasukan itu lebih berkualiti dan berpengalaman,” katanya.
sumber:- BH
Pada aksi pusingan pertama di Kuala Terengganu, PDRM berjaya mengikat tuan rumah 1-1.