Seremban: Selepas mempamerkan kebangkitan dengan melakar dua kemenangan berturut-turut termasuk menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam aksi Piala FA, skuad PDRM FC, bertekad meneruskan momentum itu pada pertembungan Liga Super menentang pendahulu, Johor Darul Ta`zim (JDT), di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam esok.
Meskipun mengibaratkan perlawanan itu seperti pertembungan antara ‘gajah’ dengan ‘tikus’, jurulatih Eddy Gapil, mahu anak buahnya kekal positif dengan berusaha memperagakan aksi terbaik bagi memberikan saingan terhadap Harimau Selatan.
Eddy turut berharap pemainnya dapat mengekalkan mentaliti yang sama daripada kemenangan dicapai ke atas Negeri Sembilan serta Kelantan The Real Warriors (TRW) FC, sebelum ini.
“Fokus utama adalah berikan aksi terbaik kerana kita tahu JDT adalah pasukan yang hebat dan memiliki pakej lengkap, jadi kami kena realistik.
“Saya mahu pemain PDRM dapat kekalkan mentaliti dan komitmen yang tinggi seperti mana mereka tunjukkan ketika perlawanan dengan Negeri Sembilan dalam Piala FA dan Kelantan, tempoh hari. Jika itu dapat dipamerkan, saya rasa kita mampu berikan saingan terhadap JDT.
“Apa pun perlawanan ini boleh ibarat pertembungan antara gajah dengan tikus kerana kita sedar cabaran besar yang akan kita hadapi pada pertembungan itu nanti,” kata Eddy.
Begitupun, pengendali itu menjelaskan betapa beliau mengharapkan keputusan positif dapat dicapai dalam aksi di laman sendiri berkenaan, meskipun menyedari pemainnya bakal mengerah kudrat terbanyak dalam 90 minit permainan itu nanti.