sukan

Pearly akui banyak kelemahan perlu diperbaiki segera

KUALA LUMPUR : Pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah terus tenggelam dalam permainan beregu nombor satu dunia dari China, apabila sekali lagi kecundang di tangan Liu Sheng Shu-Tan Ning dalam aksi final Terbuka Jepun.

Berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo, Pearly-Thinaah yang menghuni ranking ketiga dunia terpaksa akur tewas straight set 15-21, 14-21 dalam tempoh 45 minit kekalahan kelima berturut-turut mereka kepada pasangan muda China itu.

Ia sekali gus memadam impian untuk membalas dendam selepas tewas dalam empat pertemuan terakhir, termasuk di separuh akhir Terbuka Indonesia, bulan lalu.

Mengulas kekalahan itu, Pearly mengakui mereka gagal menyesuaikan strategi apabila corak permainan mereka mudah dibaca pihak lawan.

“Saya rasa sebenarnya untuk perlawanan hari ini, rancangan permainan kami tidak menjadi dan saya rasa mereka dapat membaca permainan kami dengan agak baik hari ini.

“Mereka boleh membaca permainan kami dengan sangat baik dan kami tidak dapat mengatasi serangan mereka. Jadi, kami perlu belajar daripada ini,” katanya.

Bercakap mengenai peluang menewaskan gandingan China itu pada masa akan datang, Thinaah menegaskan faktor keyakinan diri memainkan peranan penting.

“Saya rasa perkara yang paling penting adalah untuk yakin pada diri sendiri, tidak kira apa pun kedudukan mata.

“Sentiasa bersedia dan saya rasa perkara utama ialah keyakinan terhadap pukulan yang ingin dilakukan. Jadi, saya rasa keyakinan itu sedikit sebanyak terjejas pada hari ini,” katanya lagi.

Kekalahan itu menyaksikan rekod pertemuan kini memihak Sheng Shu-Tan Ning yang menang 10 daripada 13 perlawanan setakat ini.

Ia juga adalah gelaran naib juara ketiga buat Pearly-Thinaah musim ini selepas Masters Indonesia dan Terbuka Indonesia, dengan satu-satunya kejuaraan diraih di Terbuka Thailand, Mei lalu.

sumber:- HM

Selaku naib juara, mereka membawa pulang hadiah wang tunai AS$33,250 (RM141,182), manakala beregu China meraih AS$70,300 (RM298,500) sebagai juara.