Gandingan utama beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah percaya tiada yang mustahil pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 apabila mereka enggan meletakkan had terhadap peluang memburu pingat buat Malaysia.
Thinaah berkata, persiapan mereka berjalan baik selepas pulang dari Masters China dengan fokus diberikan kepada peningkatan prestasi setiap hari menjelang saingan diJepun.
“Saya rasa apa saja boleh berlaku. Itu yang kami percaya. Setiap sukan lain juga mempunyai pemain yang bagus dan semua orang hebat dalam bidang masing-masing.
“Daripada pihak kami, kami hanya mahu buat yang terbaik dan tidak mahu menyesal selepas tamat perlawanan,” kata Thinaah ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), semalam.
Pearly pula mengakui peluang mereka untuk menyumbang pingat tidak boleh dijangka susulan masalah kecederaan yang mengganggunya sejak kebelakangan ini, namun kini sudah pulih sepenuhnya dalam tempoh beberapa minggu.
Katanya, mereka menggunakan masa selepas Masters China untuk kembali mencari rentak permainan selain memperbaiki kelemahan secara berperingkat.
“Saya tidak terlalu meletakkan jangkaan kerana kecederaan saya berlaku berulang kali. Sekarang baru beberapa minggu saya pulih sepenuhnya.
“Selepas Masters China, kami beri 100 peratus setiap hari untuk memperbaiki permainan dan perlahan-lahan mencari semula rentak serta corak permainan kami. Setakat ini semuanya berjalan baik dan harap dapat keputusan terbaik,” kata Pearly.
Pearly-Thinaah dijangka menjadi antara sandaran Malaysia dalam badminton pada temasya yang berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober itu.