sukan

Pearly-Thinaah berdepan ujian getir rebut RM453,663

KUALA LUMPUR: Selepas menyingkirkan beregu muda China di separuh akhir, beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah sekali lagi perlu menundukkan gandingan dari negara tembok besar itu apabila turun menentang pasangan nombor satu dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning pada aksi final Terbuka Indonesia 2025, esok.

Pertemuan itu bakal menjadi ujian getir buat Pearly-Thinaah yang memburu kejuaraan bersejarah dalam penampilan sulung mereka di pentas akhir kejohanan bertaraf Super 1000 – tahap tertinggi dalam Jelajah Dunia BWF.

Berdasarkan rekod pertemuan, Pearly-Thinaah hanya menang tiga daripada 10 aksi sebelum ini, sekali gus menyedarkan mereka bahawa halangan terakhir ini bukan mudah.

Namun, semangat juang tinggi yang ditampilkan dalam aksi separuh akhir, hari ini membuktikan pasangan negara tidak akan menyerah mudah.

Selepas tewas set pertama 12-21 kepada Li Yi Jing-Luo Xu Min, Pearly-Thinaah bangkit cemerlang untuk mencatat kemenangan 21-17, 21-11 sekali gus melangkah ke final ketiga musim ini selepas Masters Indonesia dan Terbuka Thailand.

Sheng Shu-Tan Ning mara ke final selepas menundukkan beregu pilihan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee 21-19, 21-18.

“Kata-kata tak mampu gambarkan betapa gembiranya kami hari ini. Kami saling menyokong dan tak mahu mengalah walaupun tewas set pertama,” kata Thinaah yang mengakui kekuatan mental dan semangat setia kawan menjadi faktor pemisah kali ini.

“Tiada momen tertentu jadi titik kebangkitan, tapi kami sentiasa ingatkan satu sama lain untuk sabar, tenang dan nikmati permainan. Itu yang ubah segala-galanya,” tambah Pearly.

Pearly juga menampilkan aksi menyerlah dengan beberapa pukulan ‘smash’ tajam yang menjadi kunci kejayaan mereka di set kedua dan ketiga, termasuk mendahului 8-0 pada awal set penentuan.

Kejayaan ke final meletakkan Pearly-Thinaah di ambang mencipta sejarah sebagai beregu wanita Malaysia pertama memenangi kejuaraan Terbuka Indonesia sejak kali terakhir Chin Ee Hui-Wong Pei Tty melakukannya pada 2009.

Namun, cabaran Sheng Shu-Tan Ning pastinya bukan mudah.

Pasangan China itu mara ke final selepas menundukkan beregu pilihan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee 21-19, 21-18.

“Kami akan turun dengan minda yang tenang, saling mengingatkan kekuatan dan kelemahan masing-masing, dan berusaha kekal fokus sepanjang permainan,” kata Thinaah menjelang final esok.

sumber:- BH

Pearly-Thinaah juga kini hanya tinggal satu kemenangan untuk meraih hadiah wang tunai AS$107,300 (RM453,663) sebagai juara.