sukan

Pearly-Thinaah beri bayangan mungkin kekal di BAM

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah seakan memberi gambaran awal akan terus kekal bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Biarpun belum ada sebarang keputusan berhubung kontrak membabitkan beregu di ranking ketiga dunia itu, namun ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak menegaskan kedua-dua pemain itu menunjukkan komitmen tinggi pada sesi latihan mereka.

Rosman ketika ditemui berkata, Pearly-Thinaah tidak menunjukkan sebarang sikap berbeza, sebaliknya mereka menunjukkan disiplin dan mengikut arahan diberikan sepanjang sesi latihan.

“Setakat ini semua berjalan dengan lancar. Tiada apa-apa masalah dengan saya. Dari segi latihan, tiada kesan yang mengganggu. Mereka tetap fokus, ikut segala arahan dan menunjukkan kemahuan tinggi.

“Kalau tiada kemahuan itu yang susah, tapi mereka ada kemahuan. ‘Up and down’ itu perkara normal, tetapi ia tidak mengganggu saya dalam proses latihan mereka,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Kemelut kontrak Pearly-Thinaah mula tercetus apabila pasangan beregu utama negara itu dilaporkan belum menandatangani kontrak baharu selepas kontrak lama berakhir Disember lalu, sehingga menimbulkan persoalan mengenai masa depan mereka bersama BAM.

Namun semalam, Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan beliau sudah bertemu sendiri dengan Pearly dan Thinaah bagi membincangkan isu kontrak mereka dan akan dimuktamadkan sebelum Terbuka Jepun bermula 15 hingga 20 Julai ini.

Dalam pada itu, Rosman gembira dengan prestasi pemainnya itu ketika berdepan pemain utama dunia terutama dari China.

“Sekarang mereka tahu bagaimana nak kawal emosi, lawan balik tekanan dan yang paling penting, tak cepat ‘down’ bila keadaan tak menjadi.

“Itu satu perubahan besar dalam mentaliti mereka,” jelasnya.

Beregu nombor satu negara itu kini sedang membuat persiapan menghadapi siri kejohanan penting termasuk Terbuka Jepun, Terbuka China (22 hingga 27 Julai) dan Kejohanan Dunia di Paris, Perancis (25 hingga 31 Ogos).

sumber:- HM

Mereka beraksi cemerlang dalam empat kejohanan terakhir sebelum ini apabila merangkul satu gelaran dengan menjuarai Terbuka Thailand dan muncul naib juara Terbuka Indonesia, selain mara ke separuh akhir Masters Malaysia dan suku akhir Terbuka Singapura.