sukan

Pearly-Thinaah dedah punca tewas di Terbuka Denmark

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mengakui faktor keletihan menjadi punca mereka tewas pada aksi suku akhir Terbuka Denmark di Odense, awal pagi tadi.

Selepas berjaya menundukkan gandingan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dalam pertarungan epik di Terbuka Artik di Finland, minggu lalu, pasangan nombor tujuh dunia itu tidak dapat mengekalkan momentum sama apabila kali ini tewas 20-22, 19-21 dalam tempoh 57 minit.

Di Terbuka Artik, Pearly-Thinaah diberi tentangan hebat gandingan Jepun itu sebelum melakar kemenangan dalam tempoh 102 minit untuk mengesahkan tiket ke final.

Thinaah mengakui mereka keletihan dalam perlawanan awal pagi tadi.

“Setiap kali masuk ke gelanggang, kami membawa semangat juang Malaysia. Apabila kami cuba untuk mendapatkan mata penting, kami perlu bekerja keras, tetapi kami sentiasa menyokong satu sama lain,” kata Thinaah kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sementara itu, Pearly, berkata dia berbangga dengan persembahan yang ditampilkannya bersama Thinaah sepanjang dua minggu menyertai kejohanan di Eropah.

“Kami melalui tempoh dua minggu itu dengan perlawanan yang hebat. Banyak pengajaran diperoleh.

“Saya juga bangga dengan pencapaian kami di Finland dan Denmark,” katanya.

Pasangan itu selepas ini akan mengalihkan fokus mereka bagi melakukan persiapan menghadapi saingan Masters Kumamoto di Jepun dari 12 hingga 17 November dan Masters China dari 19 hingga 24 November.

sumber:-BH

“Kami akan pulang, berehat, makanan makanan yang sedap dan bermula semula,” tambah Thinaah.