KUALA LUMPUR: Adakah beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah memberi isyarat mereka bersedia untuk kekal bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM)?
Persoalan itu timbul selepas Pearly mengeluarkan kenyataan di laman media sosialnya yang tampak ditujukan khas kepada staf perkhidmatan sokongan badan induk itu sejurus mengharungi jadual padat kejohanan termasuk Terbuka Indonesia yang berakhir, semalam.
Spekulasi mengenai masa depan pasangan beregu ranking keempat dunia itu kembali hangat diperkatakan selepas kempen Terbuka Indonesia menutup tirainya yang menyaksikan Pearly dan Thinaah mara ke final sebelum tewas.
Difahamkan, kontrak mereka bersama BAM sudah pun berakhir beberapa bulan lalu tetapi sehingga kini, rundingan dikatakan masih berjalan dengan tarikh terbaharu adalah selepas berakhirnya aksi di Istora Senayan, Jakarta.
“Akhirnya, berakhir sudah empat kejohanan dalam sebulan. Ia satu perjalanan penuh berliku yang menguji mental, kekal bertenang dalam kekacauan, dan memaksa kami terus berjuang walaupun dalam keletihan,” kata Pearly.
“Sejujurnya, kami tak akan mampu bertahan tanpa pasukan sokongan yang luar biasa. Mereka sentiasa ada untuk kami, membantu pemulihan, menguatkan tubuh dan semangat kami. Tanpa mereka, kami takkan sampai sejauh ini.”
Sebagai pemain di bawah badan induk, mereka mendapat pelbagai kelebihan khususnya terhadap sistem sokongan BAM yang merangkumi jurulatih, pasukan sains sukan, fisioterapi, pakar pemakanan dan psikologi.
Sepanjang kempen empat minggu, selain mara ke final Terbuka Indonesia, Pearly-Thinaah berjaya menjuarai Terbuka Thailand, mara ke separuh akhir Masters Malaysia dan suku akhir Terbuka Singapura.
Pearly dalam pada itu mengakui berdepan banyak tekanan di dalam dan luar gelanggang.
“Pada bulan ini, kami memulakan perjalanan ini dengan beban jangkaan dan kritikan. Tidak semua yang dikatakan tentang kami itu benar, tetapi kami pilih untuk tidak membalas dengan kata-kata. Kami jawab dengan kerja keras, ketahanan dan kebersamaan,” katanya.
sumber:- BH
“Ia tidak mudah tetapi kami tidak mengalah, bergantung kepada satu sama lama dan memberikan segala-galanya. Kami tidak bawa pulang kejuaraan, tetapi kami temui sesuatu yang lebih berharga iaitu kekuatan, keyakinan dan hati yang tak mudah mengalah.”