sukan

Pearly-Thinaah kongsi resepi kejayaan di Terbuka Artik

KUALA LUMPUR: Saling mengingatkan dan menyokong antara satu sama lain sepanjang perlawanan menjadi azimat kepada beregu wanita utama negara, Pearly Tan dan M Thinaah ketika cemerlang menakluki Terbuka Artik di Vantaa, Finland, semalam.

Pasangan beregu wanita nombor dua dunia itu mengukuhkan status mereka selaku gandingan antara yang terbaik dunia apabila mengalahkan beregu Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakashini

dalam aksi final dengan kemenangan meyakinkan 21-7, 21-9.

Malah mereka seakan ‘tidak berpeluh’ dengan perlawanan yang hanya berlangsung selama 32 minit di Arena Energia itu yang didorong oleh corak permainan agresif dan disiplin tinggi yang mereka terapkan.

Sememangnya dikenali sebagai pasangan yang mementingkan komunikasi, kemenangan bukan saja memberikan mereka gelaran Jelajah Dunia BWF kedua pada tahun ini, tetapi membuktikan keserasian jitu di gelanggang.

“Kami sangat gembira dengan persembahan kami. Sepanjang perlawanan, kami sentiasa mengingatkan dan menyokong antara satu sama lain, dan itulah kunci kejayaan kami.

“Selepas ini, kami akan menikmati hidangan istimewa untuk meraikan kemenangan ini sebelum kembali fokus dan bersedia sepenuhnya untuk cabaran Terbuka Denmark,” kata Thinaah.

Selaku juara, Pearly-Thinaah yang juga naib juara dunia pada tahun ini membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,525 (RM158,543).

Kejayaan di Finland turut menambah koleksi kejuaraan Jelajah Dunia BWF naib juara dunia 2025 itu kepada lima gelaran keseluruhan termasuk Terbuka Switzerland 2021, Terbuka Perancis 2022, Terbuka Hong Kong 2024 dan Terbuka Thailand 2025.

Dalam pada itu, pandangan sama dipersetujui ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak yang mengakui kepercayaan sesama sendiri antara anak didiknya itu menjadi faktor utama kejayaan mereka mengekalkan rentak konsisten sepanjang kejohanan.

Justeru, Rosman berharap momentum positif ini dapat dikekalkan bagi kejohanan seterusnya dalam siri kejohanan Eropah bermula dengan Terbuka Denmark yang dijadual bermula esok di mana Pearly-Thinaah akan bertemu wakil Indonesia, Rachel Allessya Rose-Febi Setianingrum di pusingan pertama.