sukan

Pearly-Thinaah mahu tampil lebih garang

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan percaya corak permainan agresif yang ditampilkan bersama pasangannya, M Thinaah bakal memainkan peranan penting dalam usaha memburu tiket ke Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di China, Disember ini.

Meletakkan tiket untuk beraksi di Hangzhou, China yang dijadual pada 11 hingga 15 Disember depan sebagai keutamaan, Pearly berkata pendekatan sama akan diteruskan ketika mengharungi Terbuka Artik di Finland yang bermula esok.

“Ketika ini latihan kami memang difokuskan kepada kekuatan kami iaitu corak permainan agresif.

“Tetapi pada masa sama, kami turut memberikan keutamaan kepada kelemahan iaitu untuk meningkatkan kekuatan fizikal.

“Setakat ini, latihan berjalan dengan lancar saya berharap kami boleh meneruskan momentum ini untuk layak,” kata Pearly.

Selepas menamatkan kempen Olimpik Paris 2024 di kedudukan empat terbaik, Pearly-Thinaah tidak seperti mengambil keputusan untuk berehat sebaliknya kembali ke gelanggang seawal mungkin.

Mara ke suku akhir Terbuka Jepun, pasangan itu kemudian melangkah ke final Terbuka Korea Selatan namun tewas sebelum kejayaan berjaya dicapai dengan menjuarai Terbuka Hong Kong.

Begitupun, prestasi cemerlang itu tidak dapat diteruskan apabila mereka tersingkir di peringkat 16 terbaik kejohanan berstatus Super 1000 Terbuka China.

Sebagai rekod, Pearly-Thinaah yang ketika ini menghuni ranking tujuh dunia meraih tiket pertamanya di Jelajah Dunia Akhir BWF pada 2022 namun tak layak untuk beraksi pada edisi tahun lalu.

sumber:-BH

Selepas Terbuka Artik yang dijadual pada 8 hingga 13 Oktober, Pearly-Thinaah dijadual meneruskan aksi di Terbuka Denmark yang berstatus Super 750 pada 15 hingga 20 Oktober.