sukan

Pearly-Thinaah sudah buat yang terbaik

KUALA LUMPUR: Hasrat beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah untuk merangkul kejuaraan kedua tahun ini tidak kesampaian apabila tewas pada perlawanan final Terbuka Artik, hari ini.

Pearly-Thinaah yang muncul juara di Terbuka Hong Kong pertengahan bulan lalu, terpaksa akur apabila tewas straight set di tangan gandingan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning 12-21, 17-21 di Vantaan Energia Areena.

Kekalahan itu adalah kelima buat gandingan kelapan dunia itu di tangan Sheng Shu-Ning daripada lapan pertemuan dengan rekod kemenangan kini terus memihak kepada gandingan China, 5-3.

Namun, Pearly-Thinaah tidak pulang dengan tangan kosong apabila membawa pulang hadiah wang tunai AS15,960 (RM68,439) selaku naib juara.

Pearly-Thinaah selepas ini dijadual menyertai Terbuka Denmark yang berstatus Super 750 dari 15 hingga 20 Oktober ini di Odense, Denmark.

Terdahulu, beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei berjaya meraih gelaran ketiga mereka bagi musim ini selepas menewaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark.

Izzuddin-Sze Fei menewaskan ranking kedua dunia itu 15-21, 21-15, 21-19 dalam tempoh satu jam 12 minit untuk membawa pulang AS33,180 (RM142,282).