sukan

Pearly-Thinaah tekad gegar laman sendiri

KUALA LUMPUR: Tewas ketiga-tiga perlawanan dan sekali lagi terkandas di peringkat kumpulan Jelajah Dunia Final BWF di China, bulan lalu jelas perit buat pasangan beregu wanita utama negara, Pearly Tan- M Thinaah.

Tetapi menurut pasangan ranking enam dunia itu, masih ada perkara positif yang dapat dipelajari daripada kejohanan penutup tirai 2024 itu terutama pada perlawanan terakhir yang membuktikan ‘bisa’ mereka sebenarnya masih belum hilang.

Justeru bagi Pearly, momentum itu ingin diteruskan menjelang kejohanan utama pertama dalam kalendar BWF pada tahun depan iaitu di Terbuka Malaysia dari 7 hingga 12 Januari depan.

“Kami berdua masih fikir positif kerana sekalipun ini adalah kali ketiga kami tidak melepasi peringkat kumpulan, tetapi pada perlawanan terakhir kami memperoleh kembali momentum, gaya permainan kami.

“Jadi kami berharap permainan yang kami dapat di perlawanan terakhir itu dapat diteruskan di Terbuka Malaysia.

“Ini adalah kejohanan di laman sendiri, jadi kami juga harap boleh tampilkan persembahan yang terbaik.

“Tidak kira sama ada kalah atau menang, kami mahu berikan persembahan terbaik untuk penonton dan berharap mereka seronok dengan permainan kami,” katanya.

Di Hangzhou, China, Pearly-Thinaah tewas kepada gandingan Jepun, Matsuyama Nami-Shifa Chiharu 21-13, 17-21, 18-21 sebelum dikejutkan beregu nombor 11 dunia dari India, Jolly Treesa-Pullela Gayatri Gopichand 19-21, 19-21.

sumber:-BH

Pada perlawanan terakhir, Pearly-Thinaah berjaya mencetuskan ‘goyang’ kepada pilihan utama dan beregu nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning sebelum tewas 21-9, 18-21, 18-21.