sukan

Peguam antarabangsa dedah perkara yang dirayu oleh FAM kepada FIFA

RAYUAN yang difailkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bukan bertujuan menafikan kewujudan dokumen yang dipertikaikan, sebaliknya bagi menjelaskan bahawa tiada sebarang pemalsuan dilakukan oleh pemain mahupun FAM sebagai sebuah organisasi.

Peguam sukan antarabangsa yang mewakili FAM, Serge Vittoz menjelaskan bahawa tujuan utama rayuan tersebut adalah untuk membatalkan keseluruhan seksyen hukuman yang dikenakan dan membuktikan bahawa kesalahan itu tidak berpunca daripada mana-mana pemain atau pihak pengurusan FAM.

“Objektif rayuan ini adalah untuk membatalkan semua seksyen berkaitan. Ia bagi menunjukkan bahawa tiada pemalsuan dilakukan sama ada oleh pemain atau oleh FAM sebagai institusi.

“Jika ada kesalahan, ia seharusnya disasarkan kepada individu yang bertanggungjawab.

“Apa yang saya ingin jelaskan adalah dalam rayuan ini, kami menerangkan bahawa FAM sebagai institusi tidak mempunyai sebarang kaitan secara langsung dengan isu ini. Dalam erti kata lain, aspek penyeliaan atau tanggungjawab pengawasan FAM tidak terjejas dalam situasi ini.

“Apa yang terkandung dalam rayuan hanyalah penjelasan bahawa FAM sebagai institusi tidak bertanggungjawab terhadap perkara tersebut dan sebab itulah siasatan sedang dijalankan,” katanya.

Menurut Vittoz, FAM tidak menafikan kewujudan dokumen yang menjadi pertikaian, namun dokumen tersebut disediakan mengikut ketetapan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan terdapat perbezaan antara sijil kelahiran daripada pihak berkuasa asing dengan versi yang dikeluarkan oleh JPN.

“FAM dalam rayuan ini tidak menafikan kewujudan dokumen yang dipertikaikan. Dokumen tersebut mematuhi dokumentasi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), namun ia tidak sama dengan sijil kelahiran asal yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa luar negara.

“Maka, wujud perbezaan antara sijil kelahiran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa luar negara dengan yang dikeluarkan oleh JPN. Inilah sebabnya rayuan ini dikemukakan bagi menjelaskan melalui siasatan bagaimana dokumen pertengahan itu telah disediakan,” katanya.

Sebelum ini, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah mengeluarkan dokumen penuh penghakiman yang mendedahkan asal usul sebenar tujuh pemain warisan negara yang digantung selama 12 bulan selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan serta pengubahan dokumen rasmi.

Kes itu tercetus selepas FIFA menerima aduan susulan kemenangan Malaysia ke atas Vietnam, apabila kesemua pemain warisan tersebut disenaraikan dalam aksi kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang menyaksikan skuad Harimau Malaya meraih kemenangan 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun lalu.

Selain digantung 12 bulan, ketujuh-tujuh pemain tersebut didenda RM10,500 setiap seorang dan FAM turut dikenakan denda RM1.8 juta.