sukan

Pei Jing-Chiew Sien mempamerkan permainan bertenaga

KUALA LUMPUR: Harapan untuk melihat gandingan Lai Pei Jing-Lim Chiew Sien meraih gelaran sulung negara dalam acara beregu wanita di Terbuka Australia terkubur apabila kecundang di pentas final, sebentar tadi.

Pei Jing-Chiew Sien begitupun boleh berbangga dengan pencapaian selaku naib juara dengan mereka membawa pulang AS$15,960 (RM75,022) selepas tewas di tangan gandingan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amallia Cahaya Pratiwi 21-17, 7-21, 13-21.

Pada aksi final yang berlangsung di Quaycentre, Sydney itu, Pei Jing-Chiew Sien mempamerkan permainan bertenaga untuk memenangi set pertama 21-17 sebelum permainan dihentikan seketika dengan menyaksikan pegawai perubatan memberikan rawatan kepada Chiew Sien.

Set kedua nyata memihak kepada Febriana-Amallia untuk bangkit memenangi perlawanan seterusnya mengheret saingan ke set penentuan yang turut dikuasai mereka dengan keputusan 13-21.

Selaku juara bagi kejohanan berstatus Super 500 itu, Febriana-Amallia membawa pulang hadiah wang kemenangan AS$33,180 (RM155,966).

Biarpun tewas, gelaran naib juara pastinya mengubat kekecewaan Pei Jing selepas tersingkir di separuh akhir pada saingan beregu campuran bersama Tan Kian Meng, semalam.

sumber:-BH

Sebagai semifinalis, Kian Meng-Pei Jing Kian Meng-Pei Jing membawa pulang hadiah kemenangan AS$5,880 (RM27,639).