Peluang jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk kembali menaiki podium Kejohanan Berbasikal Trek Dunia buat pertama kali sejak 2020 dilihat semakin terbuka selepas pelumba pecut Britain, Matthew Richardson disahkan menarik diri daripada kejohanan dunia di Shanghai, China.
Richardson, antara pelumba terpantas dunia ketika ini, disahkan tidak meneruskan saingan oleh badan induk berbasikal Britain, British Cycling, semalam, namun punca penarikan dirinya tidak didedahkan.
Bagaimanapun, laporan media sebelum ini mendakwa pelumba berkenaan berdepan tuduhan salah laku serius. Richardson sendiri mengakui penarikan dirinya dan berkata akan memberikan kerjasama terhadap proses yang dijalankan British Cycling.
Ketiadaan pelumba yang memegang rekod dunia 200 meter dengan catatan 8.857 saat itu membuka ruang persaingan lebih sengit dalam acara pecut individu dan keirin lelaki, dua acara yang bakal disertai Azizulhasni.
Begitupun, laluan pelumba berusia 38 tahun itu untuk memburu pingat bukan mudah apabila perlu berdepan jaguh Belanda, Harrie Lavreysen, yang masih menjadi pilihan utama selepas menguasai empat acara di Kejohanan Dunia Santiago tahun lalu.