KUALA LUMPUR: Saingan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang bermula 26 Ogos sehingga 9 September ini memberikan cabaran besar buat pengendali skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovksi.
Ini kerana saingan itu bermula di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang hanya bermula dari 1 sehingga 9 September sekali gus menimbulkan persoalan mengenai status kehadiran pemain berdarah warisan baharu yang beraksi di luar negara.
Lima pemain berdarah warisan baharu negara ketika ini masih beraksi di luar negara iaitu Facundo Garces, Imanol Machuca, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo dan Gabriel Palmero, tidak termasuk Endrick dos Santos yang beraksi bersama Ho Chi Minh City serta Dion Cools di Cerezo Osaka.
Situasi ini memberi bayangan Harimau Malaya tidak dapat turun dengan kekuatan penuh memandangkan ‘Harimau Abroad’ bakal terlepas aksi awal Piala CAFA 2025 yang dilangsungkan di luar kalendar FIFA itu.
Mengulas mengenai situasi itu, pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli melihat ini peluang terbaik kepada pemain tempatan dan pemain kacukan yang beraksi di liga domestik betapa mereka juga mampu mengisi kekosongan ditinggalkan pemain warisan baharu yang memperaga aksi cemerlang ketika membenam Vietnam 4-0.
Jelasnya, mereka yang dipanggil ketika ketiadaan pemain berpangkalan di luar negara seharusnya membuktikan kredibiliti dan menunjukkan mereka juga boleh memberikan sesuatu kepada skuad negara meskipun tanpa kehadiran ‘Harimau Abroad.’
“Saya lihat Piala CAFA 2025 memang satu medan terbaik kerana kita dapat menguji pasukan yang berada di ranking lebih tinggi. Tetapi kita tahu Cklamovksi akan berdepan kesukaran menghimpunkan pemain terbaik kerana ada perlawanan yang berlangsung di luar kalendar FIFA.
“Jadi saya lihat pemain yang beraksi di liga domestik perlu bangkit untuk menunjukkan permainan yang lebih baik dan membuktikan Harimau Malaya pun garang tanpa adanya pemain berdarah warisan baharu yang diturunkan pada aksi berdepan Vietnam sebelum ini.
“Kita pun tidak mahu kalau skuad negara ini dipandang hanya hebat kerana ada pemain luar negara atau ‘askar upahan’ yang baharu ini, jadi pemain tempatan dan pemain kacukan yang lama perlu buktikan yang mereka pun boleh,” kata Pekan.
Pada masa sama, Pekan mengharapkan jadual akan berpihak kepada Malaysia di mana Malaysia diundi bersama pasukan yang berada di ranking lebih lemah ataupun hampir setara bagi aksi awal kempen Piala CAFA 2025.
“Sebab kita tidak dapat menurunkan kekuatan penuh kerana kekangan jadual FIFA, jadi saya harap jadual menyebelahi kita ketika perlawanan berlangsung di luar kalendar FIFA itu.
sumber:- BH
“Jadi apabila (pertandingan) sudah memasuki kalendar FIFA itu, kita dapat gunakan kekuatan penuh dengan kehadiran pemain dari luar negara sekali gus mampu memberi cabaran berdepan pasukan di ranking lebih tinggi di peringkat seterusnya,” katanya.