sukan

Peluang Indonesia ke Piala Dunia kini semakin hampir

KUALA LUMPUR: Pasukan Indonesia kendalian Patrick Kluivert menerima undian sukar pada pusingan akhir kelayakan Piala Dunia ketika mereka berusaha untuk layak ke pusingan akhir buat kali pertama sejak 1938.

Dilatih oleh bekas bintang Barcelona dan legenda bola sepak Belanda, Kluivert, Indonesia akan menentang tuan rumah, Arab Saudi dan Iraq dalam Kumpulan B bagi pusingan keempat kelayakan Asia untuk Piala Dunia 2026.

Qatar akan menjadi tuan rumah bagi Kumpulan A dan akan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Oman selepas undian enam pasukan berlangsung di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Kuala Lumpur.

Perlawanan bagi kedua-dua kumpulan akan berlangsung secara format liga sepusingan pada bulan Oktober di Arab Saudi dan Qatar.

Dua juara kumpulan akan menyertai enam negara Asia yang sudah pun melayakkan diri ke Piala Dunia tahun depan di Mexico, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.

Dua pasukan di tempat kedua akan bertemu pada bulan November, di mana pemenang perlawanan timbal balik itu akan layak ke perlawanan playoff antara benua bagi merebut satu tempat terakhir dalam Piala Dunia membabitkan 48 pasukan itu.

Indonesia sudah memulakan usaha merekrut pemain kelahiran Belanda serta kakitangan kejurulatihan untuk mengukuhkan peluang mereka layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak menjadi negara merdeka.

Jordi Cruyff, anak kepada legenda bola sepak Belanda, Johan Cruyff, dilantik sebagai penasihat teknikal kepada Persatuan Bola Sepak Indonesia pada Februari lalu untuk bekerjasama dengan Kluivert.

Kali terakhir Indonesia layak ke Piala Dunia adalah ketika masih di bawah penjajahan Belanda dan mereka tewas 0-6 kepada Hungary dalam satu-satunya perlawanan mereka di kejohanan itu yang berlangsung di Perancis.

Mereka bakal berdepan cabaran sukar menentang gergasi Asia Barat, Arab Saudi, yang mempunyai kelebihan beraksi di tempat sendiri dan dijangka menjadi pilihan utama untuk mendahului Kumpulan B.

Arab Saudi sudah layak ke Piala Dunia sebanyak tujuh kali termasuk dua edisi yang lalu.

Iraq pula hanya pernah layak sekali dalam sejarah mereka, iaitu pada tahun 1986.

Qatar yang menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 dalam penampilan sulung mereka di peringkat akhir, dijangka menjadi pilihan utama untuk menjuarai Kumpulan A di laman sendiri.

UAE hanya pernah layak sekali ke Piala Dunia, pada tahun 1990, manakala Oman pula belum pernah layak.

Australia, Jepun, Jordan, Iran, Korea Selatan dan Uzbekistan sudah pun mengesahkan tempat ke Piala Dunia selaku wakil Asia.