sukan

Peluang KL City raih kemenangan

KUALA LUMPUR: Meskipun memiliki nama besar dalam sejarah Liga Malaysia (Liga M), Kedah Darul Aman (KDA) FC tampak akan hadir ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur bagi aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur City, malam esok sebagai status pasukan ‘kerdil’.

Ia susulan skuad kendalian Nafuzi Zain itu dilaporkan terpaksa mempertaruhkan skuad muda berikutan pemain senior dikatakan memboikot kerana isu tunggakan gaji yang membelenggu Sang Kenari.

Situasi itu pasti memeningkan kepala Nafuzi untuk membentuk taktikal lebih ampuh ketika skuad itu berusaha menamatkan rekod tanpa kemenangan dalam enam perlawanan terakhir termasuk tiga aksi Liga Super, dua Piala FA dan satu perlawanan persahabatan.

Sang Kenari yang pernah memenangi gelaran Liga Super dua kali dan menjulang Piala Malaysia lima kali harus memikirkan bagaimana untuk melakar kejutan selain mengelak daripada menjadi mangsa belasahan KL City.

Skuad KL City yang dibimbing Miroslav Kuljanac boleh dikatakan berada dalam motivasi terbaik selepas menewaskan Kaya FC 1-0 Kejuaraan Kelab ASEAN 2024/25, 22 Ogos lalu hasil jaringan tunggal penyerang muda, Haqimi Azim Rosli.

Kemelut yang melanda KDA membuka peluang terbaik buat skuad City Boys untuk kembali meraih kemenangan dalam saingan Liga Super dan memperbaiki kedudukan mereka selepas jatuh ke tangga ke-11 susulan pemotongan enam mata yang dikenakan oleh First‬ Instance‬ Body‬ (FIB), bulan lalu.

Malah, Haqimi turut menjelaskan bahawa pasukannya tidak boleh melepaskan peluang keemasan untuk meraih kemenangan dengan memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.

“Kami akan melakukan yang terbaik dan kami akan dapatkan tiga mata penting di halaman sendiri. Saya sendiri perlu tingkatkan lagi prestasi untuk membantu pasukan Kuala Lumpur pada tahun ini.

sumber:-BH

“Walaupun Kuala Lumpur kekurangan penyerang, ia tidak terjejas pun prestasi dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Siapa pun bermain, kami akan melakukan yang terbaik,” katanya.