sukan

Peluang masih terbuka buat mana-mana beregu lelaki negara – Rexy

KUALA LUMPUR: Pintu masih terbuka buat mana-mana beregu lelaki negara untuk membarisi skuad Piala Thomas meskipun pasangan profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani sudah bersetuju untuk memperkuatkan pasukan.

Pengarah kejurulatihan beregu kebangsaan, Rexy Mainaky, berkata setakat ini tiga gandingan utama negara hampir pasti menjadi sandaran berdasarkan prestasi dan kedudukan ranking semasa iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Sze Fei-Izzuddin.

Bagaimanapun, Rexy tidak menolak kemungkinan menyenaraikan pasangan lain sekiranya mereka berjaya menghasilkan keputusan cemerlang dalam siri kejohanan di Eropah.

Antara yang masih berpeluang merebut tempat ialah Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King serta Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.

“Kalau kita lihat sekarang, boleh dikatakan tiga pasangan teratas itu sudah ada kelebihan. Aaron-Wooi Yik, Wei Chong-Kai Wun dan Sze Fei-Izzuddin.

“Tetapi kita tidak tahu, kalau di Seluruh England atau kejohanan sebelum itu tiba-tiba Wan Arif-Roy King buat keputusan yang menakjubkan, lain ceritanya,” katanya.

Kalendar Jelajah Dunia BWF akan bersambung dengan Terbuka Jerman dari 24 Februari hingga 1 Mac, diikuti Seluruh England (3 hingga 8 Mac), Terbuka Switzerland (10 hingga15 Mac) dan Orleans Masters (17hingga 22 Mac).

Prestasi dalam kejohanan di Eropah dijangka menjadi penanda aras terakhir sebelum barisan pemain diputuskan ke Piala Thomas yang akan berlangsung di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei depan.

Malaysia dijangka menyenaraikan barisan terkuat dalam misi memburu kejuaraan yang kali terakhir dimenangi pada 1992.