sukan

Peluang masih terbuka ke separuh akhir

Kuala Lumpur: Ketua pasukan bawah 23 (B-23) tahun negara, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili percaya peluang Malaysia untuk melangkah ke separuh akhir masih terbuka biarpun akui jalan yang dipilih cukup sukar.

Katanya, kekalahan 0-2 di tangan Filipina dalam aksi pertama Kumpulan A saingan Piala AFF semalam sememangnya pahit untuk ditelan, namun ia harus segera dilupakan.

Bagaimanapun jelasnya, ia tidak bermakna peluang sudah tertutup sebaliknya dua aksi selepas ini harus dimanfaatkan sebaiknya termasuk wajib menewaskan Brunei Jumaat ini dan paling penting menundukkan pasukan pilihan yang juga tuan rumah, Indonesia pada Isnin depan.

“Saya rasa peluang itu masih ada, cuma nak tak nak kita kena menang lah dua perlawanan.

“Kita pilih jalan yang sukar, tapi saya masih percaya peluang itu masih ada,” kata tonggak pertahanan Terengganu FC itu.

Secara matematik, Malaysia masih boleh melangkah ke separuh akhir namun wajib meraih dua kemenangan ke atas Brunei dan Indonesia.

Malah, faktor jumlah jaringan juga penting di mana skuad kendalian Nafuzi Zain itu perlu meraih seberapa banyak gol yang kemungkinan menjadi penentuan kemaraan ke pusingan empat terbaik nanti.

Dalam aksi semalam, dua gol Otu Bisong pada babak pertama masing-masing di minit kesembilan dan 40 membolehkan Filipina mengumpul tiga mata maksimum sekali gus memberi tamparan hebat kepada kem negara.

Ubaidullah menambah, dia menyeru agar rakan sepasukan bangkit untuk dua baki aksi selepas ini.

“Saya rasa kekurangan kita adalah tak menggunakan peluang sebaik mungkin dan kita terlalu leka ketika serangan hingga menyebabkan dua gol terjadi.

sumber:- HM

“Tapi bagi saya ini satu pengajaran terbaik untuk pasukan dan saya sendiri untuk bangkit untuk dua perlawanan lagi,” katanya.