SEREMBAN: Pengendali Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, P Maniam menyifatkan peluang pasukan itu untuk mempertahankan kejuaraan Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) belum tertutup meskipun tewas 3-2 kepada Selangor FC pada aksi final pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Sabtu lalu.
Malah, pengendali berpengalaman itu tetap yakin dengan prestasi dan kemampuan anak buahnya untuk mempamerkan kebangkitan pada aksi final kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Sabtu ini.
“Masih ada 90 minit perlawanan dan peluang kita masih ada. Kita sedang membuat persiapan sepatutnya dan semua pemain memberikan komitmen yang tinggi terhadap persiapan itu.
“Saya yakin dengan kemampuan serta prestasi pemain untuk memperagakan aksi lebih baik pada final kedua nanti. Peluang kita untuk mempertahankan kejuaraan masih ada walaupun kita ketinggalan satu gol,” kata Maniam ketika dihubungi, hari ini.
Maniam akui perlawanan kedua nanti lebih sukar, namun beliau mendapat sokongan padu daripada semua pihak termasuk pengurusan tertinggi PDRM dalam memastikan prestasi skuad Sang Saka Biru berada pada tahap prestasi terbaik untuk menafikan kelebihan dimiliki Selangor.
Justeru itu, beliau menuntut anak buahnya membuktikan bahawa mereka mempunyai kualiti yang tinggi dan mampu menterjemahkan persembahan terbaik pada aksi timbal balik itu nanti.
“Apa yang penting pemain perlu bermain dengan bersungguh-sungguh, yakin pada diri sendiri dan terhadap pasukan.
“Jika mereka dapat berjuang sebagai satu pasukan, kejayaan boleh direalisasikan kerana dalam bola sepak ini sukar dijangka dan apa saja boleh berlaku.
“Lihat saja apa yang berlaku tempohari dengan Selangor beraksi 10 pemain… tapi jelas mereka ada kekuatan tersendiri, namun saya gembira dengan persembahan pemain PDRM walaupun kita tewas,” katanya.
sumber:-BH
Maniam menegaskan betapa beliau optimis dengan peluang pasukan itu untuk berhadapan perlawanan timbal balik dengan misi kemenangan apabila persiapan dilakukan ketika ini berjalan lancar dengan semua pemain memberikan komitmen tinggi.