sukan

Peluang Selangor cerahkan laluan ke pusingan kalah mati

KUALA LUMPUR: Selepas empat perlawanan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), Selangor FC (SFC) tampaknya berada pada kedudukan yang baik untuk mengesahkan slot ke pusingan kalah mati bagi musim ini.

Kekalahan di tangan wakil Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors pada pertemuan terakhir merencatkan momentum SFC di mana bukan sahaja terlepas tiga mata malah turut kehilangan status sebagai teraju Kumpulan H.

Justeru, aksi menentang wakil Thailand, Muangthong United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam esok boleh dianggap sebagai ‘kingmaker’ dalam laluan mereka melepasi saingan peringkat kumpulan.

Skuad yang dibimbing jurulatih baharu, Katsuhito Kinoshi ini hanya berkelebihan dua mata mengatasi Muangthong United – memberi petanda penentuan untuk dua pasukan teratas akan berlanjutan sehingga aksi terakhir, 5 Disember ini.

Di atas kertas, SFC memiliki segala-galanya terutama rekod cemerlang di laman sendiri yang menyaksikan mereka hanya tewas sekali iaitu di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Cabaran sengit pasti diberikan Muangthong kerana SFC tidak boleh selesa kerana belum seperti ‘dayung sudah di tangan, perahu sudah di air.’

Berdasarkan congakan kasar, sudah tentu kemenangan begitu ditagih namun mereka sekurang-kurangnya perlu mengelak daripada kalah bagi memastikan ‘masa depan’ mereka di ACL2 tidak akan menjadi samar-samar.

Dengan sekurang-kurangnya satu mata malam esok, mereka akan menghimpun lapan mata dan kemenangan ke atas pasukan tercorot, Cebu FC pada aksi terakhir membolehkan mereka menghimpun 11 mata dan mara ke pusingan seterusnya.

Jika Muangthong sekadar seri, mereka akan ada enam mata dan jika mereka menang sekalipun ke atas Jeonbuk Hyundai Motors, mereka hanya dapat menghimpun sembilan mata dan itu tidak cukup untuk memintas SFC.

Bagaimanapun, keputusan seri itu adalah ‘bare minimum’ kerana jangkaan tinggi pasti diletakkan ke atas SFC apatah lagi di bawah kendalian Kinoshi.

Menarik untuk menyaksikan bagaimana percaturan Kinoshi untuk aksi pertamanya bersama SFC dan tekanan tinggi pasti dirasai kerana aksi sulungnya adalah mengendalikan aksi di pertandingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

sumber:-BH

Ringkasnya, nasib SFC untuk ke pusingan kalah mati terletak di tangan mereka dan mereka harus mengambil peluang ini sebaiknya – jangan sampai perlu mengharapkan ihsan pasukan lain pada aksi terakhir nanti.