sukan

Peluang Soon Huat-Shevon akhiri kemarau 60 tahun

KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie semakin menyerlahkan potensi mereka untuk menjadi sandaran menamatkan kemarau kejuaraan selama 60 tahun bagi acara itu di Terbuka Malaysia.

Pasangan nombor enam dunia itu menampilkan persembahan cemerlang ketika membenam cabaran gandingan China, Cheng Xing-Zhang Chi 21-15, 22-20 dalam tempoh 47 minit pada aksi suku akhir di Axiata Arena Bukit Jalil.

Ini adalah kali pertama pasangan suami isteri itu melangkah ke separuh akhir Terbuka Malaysia sepanjang penyertaan di kejohanan berprestij berkenaan.

Bagaimanapun, Soon Huat-Shevon dijangka berdepan laluan getir dalam misi melangkah ke final selepas dijadual menentang gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, esok.

Dechapol-Supissara mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas menundukkan wakil Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 21-12, 14-21, 21-7.

“Kami pernah berdepan mereka dua kali dan rekod pertemuan 1-1.

“Prestasi mereka cukup baik di kejohanan ini. Kita juga tahu Dechapol bukan hanya seorang pemain yang kuat tapi bijak. Jadi masuk gelanggang, kami kena juga bijak.

“Kami kena bersedia beri yang terbaik dan juga tahu bahawa perlawanan esok nanti satu yang menakutkan, jadi kami bukan hanya perlu bersedia dari segi fizikal tetapi psikologi juga,” katanya.

Kali terakhir beregu campuran negara meraih gelaran di Terbuka Malaysia adalah menerusi gandingan Teh Kew San-Ng Mei Ling pada pada 1965.

Bekas pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dua kali mempunyai peluang untuk muncul juara tetapi terpaksa akur dengan gelaran naib juara pada edisi 2013 dan 2016.

Sementara itu, Soon Huat ketika mengulas aksi suku akhir mengakui sedikit bergelut di set kedua terutama ketika terikat 20-20.

“Di set kedua ketika perlawanan di mata penting, kami sama-sama gementar, pasangan saya gementar dan saya pun gementar juga.

sumber:-BH

“Masa itu saya cakap kami kena lebih berani dan tenang. Jangan buat kesalahan mudah dan akhirnya kami berjaya,” katanya.