sukan

Peluang Soon Huat-Shevon balas dendam

KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat dan Shevon Lai Jemie, berpeluang menebus kekalahan kepada pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran apabila kedua-duanya bertemu di peringkat suku akhir kejohanan badminton Terbuka Indonesia, esok.

Soon Huat-Shevon yang juga beregu nombor lima dunia menempah tempat peringkat lapan terbaik kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 1000 BWF (Persekutuan Badminton Dunia) itu selepas menundukkan beregu tuan rumah, Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah di pusingan kedua, hari ini.

Gandingan suami isteri itu mencatat kemenangan straight set 21-12, 21-17 dalam tempoh 33 minit dalam pertemuan sulung mereka bertemu gandingan muda Indonesia yang menghuni tangga ke-25 dunia itu.

Begitupun, cabaran lebih getir menanti di suku akhir di Istora Senayan, Jakarta apabila dijadual bertemu lawan yang pernah menumbangkan mereka di suku akhir Terbuka Singapura minggu lalu, Dechapol-Supissara.

Di Singapura, Soon Huat-Shevon terkandas di peringkat sama yang menyaksikan pasangan beregu campuran utama Thailand itu muncul sebagai juara.

Soon Huat ketika mengulas mengenai pertemuan ulangan menentang pasangan ranking enam dunia itu berkata, mereka kini lebih bersedia.

“Sasaran kami pada tahun ini adalah untuk mara ke separuh akhir dalam setiap kejohanan yang kami sertai. Walaupun kami tewas kepada pasangan Thailand itu di Terbuka Singapura, kami akan lebih bersedia kali ini dan akan berjuang habis-habisan,” kata Soon Huat.

Sementara itu, Shevon menyifatkan permainan yang mereka tampilkan hari ini sebagai konsisten dan kebolehan untuk menyesuaikan diri dengan cepat dengan gelanggang menjadi antara kunci kemenangan.

“Secara keseluruhan, saya rasa kami bermain dengan cukup baik hari ini. Walaupun lawan cuba mengganggu rentak kami, kami berjaya kekal tenang di atas gelanggang.

“Arah tiupan angin di gelanggang ini juga bukan mudah untuk dikawal. Setiap gelanggang berbeza, jadi kami perlu cepat menyesuaikan diri. Kami bermain di dua gelanggang berbeza semalam dan hari ini, jadi itu menjadi fokus utama kami,” katanya.