Misi skuad Harimau Malaya pada saingan Piala ASEAN FIFA 2026 di Indonesia bermula minggu depan bukan sekadar untuk melakar keputusan membanggakan, sebaliknya turut menjadi medan ujian buat pengendali interim, Tan Cheng Hoe.
Misi serampang dua mata itu menyaksikan Cheng Hoe perlu membawa Malaysia memburu tiket ke final saingan sulung itu, selain menggunakan kejohanan berkenaan untuk membuktikan kemampuannya kepada pengurusan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai calon untuk dilantik secara tetap.
Presiden baharu FAM, Datuk Ab Ghani Hassan, mengakui Cheng Hoe masih berpeluang untuk dipertimbangkan bagi jawatan berkenaan, namun pada masa sama memberi bayangan bahawa badan induk itu turut mahu melihat pendekatan dan wajah baharu dalam membentuk hala tuju skuad kebangsaan.
“Ya, boleh bagi peluang. Tapi kadang-kadang kita perlukan satu benda yang baru juga untuk kita bawa.
“Tapi kalau Tan Cheng Hoe boleh menunjukkan prestasi yang amat baik, itu boleh kita tengok macam mana kelak, Insya-Allah,” kata Ab Ghani.
Kenyataan itu secara tidak langsung meletakkan Piala ASEAN FIFA sebagai platform penting buat Cheng Hoe, yang kini memikul tanggungjawab membimbing skuad negara selepas dilantik sebagai pengendali interim susulan pemergian Peter Cklamovski pada Jun lalu.
Cheng Hoe bukanlah nama asing dalam struktur Harimau Malaya apabila sebelum ini pernah mengendalikan skuad negara dari penghujung 2018 hingga Januari 2022 dan membawa Malaysia sehingga ke final Piala AFF 2018 sebelum tewas kepada Vietnam secara agregat 2-3.
Lebih menarik, beliau kini kembali mengemudi pasukan kebangsaan dalam kapasiti berbeza selepas berkhidmat sebagai Pengarah Teknikal Skuad Kebangsaan sejak April 2025 sebelum mengambil alih tugas ketua jurulatih secara interim.
Justeru, kejayaan di Indonesia nanti bukan sahaja akan menentukan sejauh mana kemampuan Cheng Hoe membentuk semula pasukan selepas perubahan besar dalam struktur pengurusan, malah boleh menjadi antara faktor yang dinilai FAM sebelum membuat keputusan mengenai pengendali tetap skuad kebangsaan.
Malaysia akan bersaing dalam Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 yang berlangsung dari 25 September hingga 5 Oktober, dengan Kumpulan A turut dihuni tuan rumah Indonesia, Singapura dan Bangladesh, manakala Kumpulan B menampilkan Vietnam, Thailand, Filipina dan Pakistan.
Skuad negara dijadual membuka kempen menentang Bangladesh di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 25 September sebelum berdepan Indonesia dan Singapura dalam aksi kumpulan seterusnya.
Format pertandingan menyaksikan juara setiap kumpulan mara ke final divisyen 1, sekali gus menjadikan saingan peringkat kumpulan amat penting buat Malaysia jika mahu merealisasikan sasaran beraksi dalam perlawanan penentuan kejuaraan.