sukan

Peluang untuk menang sentiasa ada – Wei Chong

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tekad menjadikan prestasi konsisten sebagai senjata utama mereka dalam misi memburu kejayaan di Kejohanan Badminton Dunia di Paris.

Meskipun hadir selaku pilihan ketujuh, Wei Chong menegaskan mereka enggan terbeban dengan soal sasaran sebaliknya mahu kekal fokus satu perlawanan demi satu.

“Yang paling penting adalah konsisten. Kalau kami berjaya kekalkan prestasi, peluang untuk menang sentiasa ada,” katanya dipetik laman rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Awal pagi tadi, pasangan ranking ketujuh dunia itu berdepan detik mendebarkan sebelum menyingkirkan beregu adik-beradik Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov 21-15, 13-21, 21-19 di Adidas Arena.

Mengulas aksi berkenaan, Wei Chong mengakui lawan mendapat suntikan moral beraksi di laman sendiri.

“Mereka benar-benar beri tentangan kerana dapat sokongan penuh penonton. Ia bukan perlawanan mudah buat kami,” katanya.

Kai Wun pula berkata, kesilapan mudah hampir mengundang padah.

“Mereka main bagus, tapi kami juga banyak lakukan kesilapan. Bila ketinggalan, saya pesan pada Wei Chong supaya bertenang. Akhirnya kami berjaya kawal keadaan,” ujarnya.

Christo-Toma hampir mencipta kejutan apabila mendahului 16-11 pada set penentuan, namun beregu negara bangkit memastikan kemenangan 21-19 sekali gus mengekalkan rekod bersih tiga kemenangan ke atas gandingan itu.

Wei Chong-Kai Wun bakal berdepan wakil England, Sean Vendy-Ben Lane dalam pusingan ketiga esok yang juga pertemuan sulung kedua-dua pasangan.