sukan

Peluang Wei Chong-Kai Wun ‘diamkan’ Istora Senayan

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun berpeluang menebus kembali maruah negara apabila berdepan beregu nombor lapan dunia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani pada separuh akhir Terbuka Indonesia, esok.

Gandingan tuan rumah itu menafikan kemaraan beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani apabila menewaskan gandingan nombor satu dunia itu 19-21, 21-9, 19-21 pada aksi suku akhir, hari ini di Istora Senayan.

Ia sekali gus meranapkan impian peminat untuk menyaksikan pertembungan sesama sendiri dua wakil negara di separuh akhir.

Terdahulu, Wei Chong-Kai Wun muncul juara Masters Malaysia bulan lalu, menumbangkan bekas beregu nombor satu dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 21-19, 21-16 dalam tempoh 43 minit.

Kemenangan itu juga menamatkan badi kekalahan empat perlawanan berturut-turut sebelum ini di tangan pasangan India itu.

Kai Wun mengakui kejayaan mara ke separuh akhir di kejohanan berstatus Super 1000 itu melonjakkan keyakinannya serta Wei Chong.

“Saya rasa kejayaan ini petanda yang baik baik untuk kami. Secara perlahan-lahan kami bertambah baik dari semasa ke semasa. Kami juga dapat kembalikan keyakinan diri,” kata Kai Wun kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Mengulas perlawanan hari ini, Wei Chong berkata, mereka hanya fokus kepada corak permainan sendiri bertemu lawan yang sememangnya mempunyai kualiti permainan tinggi.

“Daripada segi kepantasan, mereka jauh lebih baik daripada kami. Jadi apa yang kami boleh lakukan adalah mengikut pelan permainan dan strategi sendiri.

sumber:- HM

“Kami cuma tidak mahu terlalu memikirkan soal menang atau kalah. Kami hanya mahu memberikan yang terbaik,” katanya kepada BWF.