sukan

‘Pemain bola tak boleh hanya harap gaji lagi’

KUALA LUMPUR: Isu tunggakan gaji yang terus membelenggu kancah liga bola sepak tempatan seharusnya menjadi amaran ataupun signal khususnya kepada generasi baharu yang berhasrat untuk berkecimpung dalam sukan nombor satu itu.

Bukan ingin menakutkan ataupun melenyapkan impian mereka untuk menjadi pemain bola sepak namun realiti yang sedang berlaku ketika ini mencerminkan kebimbangan yang berisiko membuatkan mereka turut ‘terperangkap’ dalam kitaran sama pada masa akan datang.

Justeru, pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa mengingatkan pemain di peringkat akar umbi supaya dapat bersedia dengan kemahiran selain bola sepak memandangkan tidak semua pemain akan beruntung untuk mendapat gaji ‘kayangan’ dalam Liga Malaysia (Liga M).

Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam itu menegaskan pemain perlu menukar ‘mindset’ dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pendapatan menerusi bola sepak bagi memastikan kelangsungan hidup mereka.

“Pemain perlu beradaptasi dan menyediakan pelan kontigensi dengan tidak hanya berharap pada gaji sebagai pemain bola sepak semata-mata. Sebab itulah untuk pemain di bawah usia, mereka perlu bersedia dengan kemahiran di luar bola sepak terutamanya membabitkan bidang pendidikan.

“Kita tidak mengatakan perkara ini akan membunuh minat pemain kerana yang berbakat akan tetap mendapat tempat, tetapi bagi yang kurang (kemahiran bola sepak), mereka perlu ada pelan B yang mampu menyelamatkan mereka kalau berlaku sesuatu tidak diingini dalam karier.

“Sebab itulah kita harapkan pemain ini dapat lengkapkan diri mereka dan mengambil jalan keluar yang lain daripada bidang bola sepak jika bola sepak tidak lagi membantu kehidupan mereka. Mereka perlu menambah nilai mereka sebagai persediaan ke kancah profesional.

“Banyak lagi perkara di luar bola sepak yang boleh diteroka oleh mereka kerana mereka perlu tahu dengan senario semasa, bola sepak tidak lagi menjanjikan pulangan lumayan kepada semua orang dan mereka perlu sedar hakikat itu,” kata Sadek.

Terdahulu, BH Sukan semalam melaporkan berniaga dalam talian menjadi antara kerja sambilan terpaksa dilakukan beberapa pemain Liga M untuk menyara keluarga apabila bergelut dengan isu tunggakan gaji.

Malah, ada antara mereka terpaksa menebalkan muka dengan meminjam wang daripada rakan dan ahli keluarga demi kelangsungan hidup sementara menunggu kelab membuat pembayaran gaji.

Ada kelab didakwa gagal membayar gaji pemain berbulan-bulan dan ada yang membuat pembayaran gaji pun tidak membabitkan jumlah penuh tunggakan.

Dalam perkembangan sama, Sadek juga tidak menolak kemungkinan akan wujudnya pemain dengan dua kelompok berbeza iaitu pemain yang profesional sepenuh masa dan pemain ‘semi profesional’ yang beraksi dalam liga profesional.

“Klausa mungkin berubah disebabkan ada kekangan dihadapi pasukan profesional. Mungkin ada kelompok yang betul-betul profesional, yang dapat gaji kayangan dan berada pada pasukan yang stabil serta konsisten membayar gaji.

sumber:-BH

“Kita juga lihat mungkin ada pemain yang bermain di liga profesional tetapi bola sepak bukan lagi punca pendapatan utama, mereka ada kerjaya lain di luar dan bola sepak jadi sekadar satu cabang pendapatan sahaja,” katanya.