Pemain dan barisan kejurulatihan England bakal menerima hampir separuh daripada wang hadiah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bernilai £38 juta (RM207 juta) milik Persatuan Bolasepak England (FA) sekiranya berjaya menjulang trofi Piala Dunia.
Menurut laporan The Guardian, berdasarkan skim bonus yang dipersetujui bersama kumpulan kepimpinan pemain sebelum kejohanan bermula, FA akan membayar kira-kira £15 juta (RM81 juta) kepada skuad, £3 juta (RM16.3 juta) kepada pengendali Thomas Tuchel dan sekitar £1 juta (RM5.46 juta) kepada barisan kejurulatihannya jika Harry Kane mengangkat trofi di New York hujung minggu depan.
Jumlah bonus berpotensi diterima pemain itu lebih dua kali ganda berbanding ganjaran yang bakal diperoleh jika memenangi Piala Dunia Qatar empat tahun lalu.
Sumber yang mengetahui rundingan itu memberitahu The Guardian bahawa skuad kendalian Tuchel turut mendapat manfaat daripada perjuangan pasukan wanita England sebelum ini.
Lionesses sebelum itu mendedahkan pertikaian mereka dengan FA menjelang Piala Dunia Wanita 2023 selepas gagal mencapai persetujuan mengenai skim bonus, dengan badan induk itu pada awalnya keberatan menawarkan insentif tambahan selain hadiah individu FIFA yang mencecah £200,000 (RM1.09 juta) untuk juara.
Pertikaian itu diselesaikan selepas kejohanan berkenaan yang menyaksikan England tewas kepada Sepanyol di final.
Selepas memberikan bonus besar kepada Lionesses, FA kemudian meningkatkan jumlah ganjaran berpotensi untuk skuad lelaki, selain dipengaruhi peningkatan ketara wang hadiah FIFA kepada persatuan bola sepak seluruh dunia.
Jumlah hadiah Piala Dunia meningkat 50 peratus berbanding edisi 2022 kepada £488 juta (RM2.6 bilion) walaupun dana itu kini perlu diagihkan kepada 48 pasukan berbanding 32 sebelum ini.
Juara dunia akan menerima £37 juta (RM201 juta), meningkat daripada £24 juta (RM131 juta) pada edisi lalu.
FA juga sudah menjamin sekitar £15 juta (RM82 juta) selepas England melangkah ke suku akhir dengan hampir separuh jumlah itu akan diagihkan kepada pemain dan kakitangan tanpa mengira keputusan aksi menentang Norway.
Jumlah sebenar yang diterima setiap pemain bergantung kepada minit permainan mereka, namun jika dibahagikan sama rata, setiap pemain berpotensi menerima sekitar £577,000 (RM3.2 juta).
Selain itu, pemain turut menerima bayaran penampilan sebanyak £2,000 (RM10,900) bagi setiap perlawanan tetapi berdasarkan perjanjian lama, bayaran itu disumbangkan kepada badan kebajikan.
Sejak 2007, lebih £5 juta (RM27 juta) sudah dikumpulkan untuk tujuan amal menerusi Yayasan Pemain Bolasepak England -AGENSI