Alor Setar : Pasukan yang akan bersaing dalam Liga Super musim 2025/2026 kini dilihat giat memburu beberapa tonggak utama dari pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bagi memulakan saingan yang bakal bermula pada bulan Ogos depan.
Antara pasukan yang dilihat sedang memanaskan ‘enjin’ adalah Imigresen FC dengan beberapa pemain utama KDA FC berada dalam radar bagi memulakan aksi sulung mereka dalam saingan Liga Super musim ini.
Sementara beberapa pasukan lain seperti PDRM FC dan Melaka FC juga dikatakan berminat mendapatkan tonggak KDA FC berdasarkan pengalaman dan nilai yang dimiliki pemain skuad Sang Kenari dalam Liga Malaysia (Liga M) selama ini.
Menurut Pengendali Bola Sepak Wanita Kedah Mohd Irwan Rashidi, reputasi serta kewibawaan pemain berpengalaman dari KDA FC ini mampu menyerlah dan meningkatkan lagi mutu Liga Super dari aspek kualiti pemain tempatan.
“Pengalaman dan nilai seseorang pemain itu menjadi tarikan utama kelab setiap kali liga hampir bermula dan kita tahu pemain Kedah yang berpengalaman sudah pasti mahu mengekalkan tahap mereka dalam saingan tertinggi Liga M seperti Liga Super.
“Dengan tawaran yang baik saya jangkakan lebih banyak pasukan dari Liga Super akan mengambil peluang terbaik ini dalam membuat tawaran dan terus menyusun kekuatan baharu bagi memulakan saingan musim ini.
sumber:- HM
Menurut pemerhatian media pada ketika ini, antara pemain KDA FC yang berada dalam spekulasi ialah penyerang Syafiq Ahmad dan juga pemain sayap Fayadh Zulkifli yang dilihat berpotensi bersama skuad Imigresen FC selepas skuad Sang Kenari diumum tidak akan beraksi dalam kancah Liga Super musim depan.