sukan

Pemain ke 12 Harimau Malaya sudah kembali

KUALA LUMPUR: Selepas ‘hilang’ pada Pestabola Merdeka 2024, kumpulan penyokong, Ultras Malaya akhirnya kembali memberi sokongan untuk skuad Harimau Malaya pada aksi Piala AFF 2024 menentang Timor-Leste, malam ini.

Tinjauan BH Sukan di dalam Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sekitar jam 8 malam mendapati ahli Ultras Malaya mula memenuhi tempat kegemaran mereka iaitu di belakang pintu gol seperti kebiasaan.

Kehadiran Ultras Malaya jelas menghidupkan lagi suasana dalam SNBJ menerusi laungan kata-kata semangat penuh berkobar-kobar, paluan gendang yang mantap dan juga kibaran kain rentang.

Malah, kehadiran lebih 4,000 penyokong yang turut memenuhi stadium sudah pasti memberi sokongan kepada skuad bimbingan Pau Marti Vicente dalam misi memburu kemenangan pertama di Piala AFF 2024.

September lalu, suasana di SNBJ tampak suram susulan ketiadaan Ultras Malaya yang sentiasa memeriahkan suasana dengan laungan semangat buat pemain negara pada Pestabola Merdeka 2024.

Ini selepas Ultras Malaya memboikot dua perlawanan Pestabola Merdeka antara Malaysia berdepan Filipina dan Malaysia berdepan Lubnan dengan tidak berpuas hati dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

sumber:- BH

Skuad kebangsaan bagaimanapun berjaya menjadi juara Pestabola Merdeka 2024 selepas menewaskan Lubnan 1-0 pada aksi final.