sukan

Pemain Kedah ceria penyokong hulur angpau

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menerima sedikit suntikan motivasi daripada penyokong setia sebelum memulakan cabaran aksi separuh akhir kedua Piala Cabaran MFL 2024/2025 menentang PDRM FC di Stadium Darul Aman malam ini.

Menerusi media rasmi Sang Kenari, skuad berkenaan ceria selepas dikunjungi seorang penyokong tegar yang bersifat murah hati menghulurkan sumbangan berupa angpau ketika mereka mengadakan latihan di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH) semalam.

“Persiapan akhir semalam ditamatkan dengan perjumpaan bersama salah seorang penyokong hijau kuning. Mr. Conway Lian dan keluarga yang hadir ke pusat latihan Sang Kenari di sini.

“Kehadiran beliau adalah untuk menyampaikan kata-kata semangat buat pasukan untuk perlawanan separuh akhir MFL Challenge Cup musim ini serta sempat memberi angpau kepada semua pemain dan juga pegawai.

“Terima kasih dari pihak pengurusan kepada Mr. Conway Lian. Gong Xi Fa Cai,” kata kenyataan itu.

Penyokong sebelum ini juga difahamkan pernah hadir memberi cenderahati berupa gambar kenangan buat pemain Kedah ketika Sang Kenari beraksi di tempat lawan.

Sementara itu menerusi laman facebook penyokong yang dikenali sebagai Conway Lian ini, beliau turut meluahkan rasa teruja dapat menyampaikan sumbangan buat pasukan Kedah dalam suasana rakyat Malaysia menyambut Tahun Baharu Cina.

Beliau turut menggesa penyokong setia Kedah agar hadir ke Stadium Darul Aman malam ini untuk memberi sokongan padu yang ditagih Sang Kenari dalam usaha melayakkan diri ke saingan akhir.

“Sebagai anak Kedah, ini sedikit sumbangan bagi pasukan kesayangan kita. Ini adalah masa yang genting dan penuh cabaran untuk pasukan kita.

sumber:-BH

“Harap malam ini kita mengalu-alukan semua penyokong Kedah Darul Aman FC yang akan memenuhi Stadium Darul Aman, untuk memberi semangat kepada pasukan kesayangan kita,” katanya.