KUALA LUMPUR: Tugas berat membawa pulang pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) adalah bersifat kolektif tetapi lebih utama, Malaysia perlu mempunyai pemain yang memiliki impian setinggi gunung untuk menjulang gelaran terhebat itu, kata Kenneth Jonassen.
Jonassen, 51, yang juga bekas ketua jurulatih Denmark memulakan tugasnya secara rasmi sebagai Ketua jurulatih perseorangan negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.
Tiba dengan reputasi cukup tinggi, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan antara tugas Jonassen adalah melahirkan pemain yang mampu menamatkan kemarau pingat emas negara di temasya sukan terbesar dunia itu.
Diberikan kontrak selama empat tahun sehingga LA28, Jonassen yang mengetuai kedua-dua sektor perseorangan lelaki dan wanita sebelum ini menyatakan cabaran itu yang membuatkannya teruja untuk berada di Malaysia.
Ketika ditemui, Jonassen mengakui antara pendekatan yang diambil dan dipercayai mampu memberikan kesan adalah menerusi hibrid gaya permainan Eropah dan Asia.
Tetapi apa yang lebih utama, tugas itu tidak terletak di bahunya saja, tetapi turut dipikul bersama pemain.
“Jika kita melihat pada gambaran besar, sudah tentu kita berharap untuk menemui beberapa pemain berbakat yang mampu mengibarkan cabaran di Olimpik 2028, tetapi dalam perjalanan ke sana, ada banyak matlamat yang perlu dicapai.
“Sekali lagi, ia adalah matlamat yang kolektif tetapi secara individu, pemain perlu memahami yang jika mereka mahu pingat emas pada 2028, mereka perlu tahu apa yang perlu dicapai sebelum itu dan bila masanya.
“Saya akan sentiasa bersama pemain-pemain, apabila mereka mencapai sesuatu, saya turut gembira bersama mereka dan jika mereka tidak berjaya, saya turut sedih kerana saya percaya itulah cara untuk membangunkan seorang pemain.
“Pemain mempunyai cita-cita dan saya juga sangat bercita-cita, tetapi bukan saya tidak boleh memukul bola untuk mereka.
“Ia perlu datang dari dalam diri mereka dan ini adalah proses yang berterusan bagi pemain muda, mereka mungkin mempunyai impian tetapi tidak tahu bagaimana untuk mencapainya.
“Dan itulah perbincangan dan pelan pembangunan yang perlu dilalui bersama jurulatih. Jadi ya memang ada banyak matlamat, tetapi sudah tentu, mencari seseorang yang mampu mencabar untuk pingat pada LA28 adalah matlamat yang terbesar,” kata Jonassen.
Jonassen yang memiliki reputasi sebagai jurulatih yang mampu menjulang pingat emas di Olimpik menerusi Viktor Axelsen di Sukan Olimpik Tokyo 2020 juga berkata, antara ideanya adalah melakukan hibrid gaya permainan Eropah dan Asia kepada pemainnya.
“Saya percaya ia akan menjadi sangat menarik untuk menggabungkan gaya permainan Asia dan Eropah. Ini adalah antara idea saya dan ia terbukti berkesan untuk pemain Denmark.
“Saya rasa setiap pemain memang berlatih cukup keras, tetapi yang membezakannya adalah perincian dan motivasi di sebalik apa yang cuba kita capai. Tugas saya sebagai jurulatih adalah untuk membantu setiap pemain mencapai potensi penuh mereka.
“Kita tidak tahu sejauh mana potensi itu, kita hanya boleh mengagak, tetapi ia bermakna kita perlu terus bekerja keras setiap hari, dengan mengikuti impian itu. Dan yang penting ia adalah impian pemain, bukan impian jurulatih.
sumber:-BH
“Jadi itulah yang saya mahu pastikan, bagaimana untuk memotivasikan mereka setiap hari,” kata Jonassen.