sukan

Pemain QPR perkuat skuad B-16 negara

Kuala Lumpur: Revolusi skuad bola sepak kebangsaan kini memasuki fasa baharu apabila skuad bawah 16 (B-16) tahun pula mengikut jejak pasukan senior dengan membawa pulang tonggak muda di luar negara.

Antara bintang dalam pembikinan yang berjaya ‘dibawa pulang’ bagi memperkuatkan skuad B-16 adalah pemain utama akademi terkemuka di England iaitu Queen Park Rangers (QPR), Reyes Shaqeel Emir.

Reyes yang beraksi di posisi tengah adalah tonggak tengah pasukan muda QPR dan boleh beraksi pada beberapa posisi termasuk pertahanan kanan.

Malah, dia juga baru-baru ini diturunkan dalam aksi pramusim menentang Manchester United di Carrington.

Selain Reyes, tumpuan juga terarah kepada empat pemain muda negara yang beraksi di luar negara iaitu Mirza Arif yang beraksi untuk akademi bola sepak Brazil, BISP Cruzeiro Football Academy diikuti Kim Johan di Norway bersama Footballklubben Jerv serta Keith Chan San Jose di Amerika Syarikat.

Kehadiran pemain-pemain berkenaan dilihat memberi kekuatan tambahan buat skuad harimau cilik itu bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia 2026 hujung tahun ini.

Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan 30 pemain B-16 yang mula melapor diri bermula semalam dan akan menjalani latihan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Gambang, Pahang.

Selain empat pemain di luar negara itu, pengendali pasukan, Javier Jorda Ribera turut memanggil 11 pemain dari Sekolah Sukan Malaysia Pahang, empat pemain dari SMK Taman Desa Skudai, Johor selain beberapa pemain dari serata Malaysia untuk membawa cabaran kali ini.

sumber:- HM

Sebelum ini, skuad senior Harimau Malaya diperkuatkan tujuh pemain warisan berpangkalan di Amerika Latin dan Eropah antaranya Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Facundo Garces, Hector Hevel dan Gabriel Palmero.