sukan

Pemain sangat letih punca ‘longlai’

KUALA TERENGGANU: Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner akan memberi tumpuan kepada proses pemulihan pemainnya sebagai persiapan menjelang pertemuan separuh akhir kedua Piala FA menentang Selangor FC Sabtu ini.

Katanya, anak buahnya gagal memperagakan aksi sebenar ketika membenam cabaran Negeri Sembilan FC (NSFC) 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi akibat keletihan dan tidak begitu cergas.

Jelasnya, lebih membimbangkan apabila beberapa pemain tonggaknya kini dibelenggu masalah kecederaan yang boleh menjejaskan perancangannya berdepan skuad The Red Giants dalam pertemuan hidup mati itu.

Bagaimanapun jurulatih kelahiran Croatia itu berkata, secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan persembahan anak buahnya terutama pada babak kedua perlawanan selepas beberapa pertukaran pemain dilakukan.

“Pemain kami kelihatan sangat letih dan nampak kurang cergas, mereka tidak beraksi sebagaimana yang diharapkan dengan pasukan Negeri Sembilan berjaya mengawal permainan pada peringkat awal sehingga berjaya menjaringkan gol pendahuluan.

“Namun pada aksi separuh masa kedua saya menukar strategi dengan membawa masuk beberapa pemain baharu untuk memburu kemenangan selepas tumpas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) Jumaat lalu.

“Tahniah kepada pemain yang bangkit dan seterusnya berjaya mencipta kemenangan, kejayaan ini sebagai motivasi kepada mereka sebelum aksi timbal balik separuh akhir Piala FA nanti,” ujar Steinbruckner.

Pada perlawanan itu, pemain import skuad Hobin Jang Hobin, Miguel Martinez berjaya membuka tirai jaringan sebelum kapten TFC, Safawi Rasid menyamakan kedudukan seminit sebelum wisel penamat babak pertama ditiupkan pengadil.

sumber:-BH

Pemain TFC, Nnabuike Chukwu meledak gol kedua namun rembatan deras pemain lawan, Jacque Faye berjaya menyamakan kedudukan sebelum pemain sayap skuad Penyu, Akhyar Rashid muncul watak pemusnah apabila berjaya menjaringkan gol ketiga pasukannya.