BERLIN: Pemain Sepanyol berada dalam keadaan euforia selepas mencatat kemenangan penuh dramatik 2-1 ke atas England yang menyaksikan mereka merangkul gelaran Eropah keempat menerusi jaringan pemain gantian, Mikel Oyarzabal pada minit ke-86, awal pagi tadi.
Skuad La Roja mendahului menerusi Nico Williams pada awal separuh masa kedua tetapi gol penyamaan Cole Palmer meletakkan pasukan itu dalam keadaan cemas sehinggalah jaringan lewat Oyarzabal.
“Euforia. Semua rakyat Sepanyol berhak mendapatkannya, kami banyak menderita,” kata Williams.
“Mereka mempunyai pasukan yang bagus, mereka mempunyai pemain yang mampu membuat perbezaan tetapi kami berjaya mengatasi senjata mereka dan akhirnya kami memenangi Kejuaraan Eropah dan kami sangat gembira.”
Rakan sepasukannya yang juga pemain sayap, Lamine Yamal menyifatkan kejuaraan itu sebagai hadiah yang sempurna selepas menyambut ulang tahunnya yang ke-17, kelmarin.
“Sangat gembira dan tidak sabar untuk kembali ke Sepanyol dan meraikan dengan semua penyokong. Ini benar-benar hadiah terbaik,” katanya.
“Ia menjadi impian kami. Apabila kedudukan seri, ia sukar, mereka menekan kami. Saya tidak tahu apa yang membuatkan pasukan ini kuat, tetapi kami sentiasa bangkit, kami sentiasa menang.”
Oyarzabal, yang sebelum itu melakukan percubaan lemah, menebus kesilapannya dengan meluncurkan badan untuk menampan masuk hantaran Marc Cucurella pada minit ke-86, mengakhiri harapan England untuk meraih kemenangan.
“Saya melakukan apa yang perlu pada setiap saat untuk cuba membantu,” katanya.
sumber:-BH
“Saya cukup bertuah untuk memberi kami kemenangan… untuk mempunyai saat membantu seperti yang berlaku kepada saya adalah yang terbaik. Ia berlaku kepada saya, tetapi boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.” – REUTERS