sukan

Pemain terbaik dunia tumbang lagi

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao berada dalam kelas tersendiri apabila menumpaskan pemain yang menghuni kelompok 10 terbaik dunia pada Kejohanan Badminton Terbuka Singapura sebentar tadi.

Jun Hao yang berstatus ke-36 dunia memperagakan aksi luar biasa menyingkirkan jaguh Indonesia yang menghuni ranking nombor tujuh dunia, Anthony Sinisuka Ginting untuk mara ke saingan suku akhir pada Jumaat.

Juara remaja Asia itu memulakan langkah positif menerusi kemenangan 21-14 dalam saingan set pertama di Stadium Tertutup Singapura itu.

Berbekalkan pengalaman, Ginting bangkit meningkatkan momentum sekali gus mengungguli permainan kedua 21-10 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Enggan mengalah Jun Hao kembali memperkemaskan corak permainan untuk mendominasi set ketiga dan kemudian mengesahkan kemenangan 21-8 dalam masa 60 minit permainan.

Kemenangan itu mengurangkan defisit kekalahan Jun Hao ke atas Ginting kepada 1-2 selepas dua pertemuan sebelum ini iaitu Terbuka Hong Kong 2023 dan Terbuka India 2024.

Ia juga akan menjadi penampilan kedua Jun Hao dalam aksi suku akhir kejohanan Jelajah Dunia musim ini selepas berada dalam kelompok lapan terbaik pada Masters Sepanyol Mac lepas.

Dalam kejohanan Malaysia Masters minggu lalu, perjalanan Jun Hao tersekat pada pusingan kedua selepas tumpas kepada pemain nombor enam dunia dari China, Li Shi Feng.

sumber:-SH

Menuju ke saingan separuh akhir, Jun Hao dijadual berdepan pemenang perlawanan antara juara Malaysia Masters yang juga pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen dengan pemain Taiwan, Li Chun Yi.