sukan

Pemalsuan dokumen: Bintang Mesir dihukum penjara setahun

Pemain antarabangsa Mesir, Ramadan Sobhi, yang membantu Pyramids menjulang gelaran Liga Juara-Juara CAF pertama mereka musim lalu dan pernah beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), dijatuhi hukuman penjara setahun berkaitan kes penipuan akademik, lapor media tempatan.

Sobhi ditahan pada Julai lalu sebaik pulang dari Turkiye selepas Pyramids menamatkan kem latihan pramusim, susulan dakwaan memalsukan dokumen rasmi dan mengupah individu lain untuk menduduki peperiksaan bagi pihaknya di sebuah institusi pelancongan dan hospitaliti swasta di Gabenorat Giza, di wilayah Mesir Tengah.

Mahkamah Jenayah Giza pada Selasa, menjatuhkan hukuman penjara setahun.

Peguam Sobhi tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen setakat ini.

Selain hukuman penjara, Sobhi turut berdepan penggantungan selama empat tahun selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada November mengesahkan pelanggaran peraturan anti-doping.

Sobhi, yang sudah mengumpul 37 penampilan bersama skuad kebangsaan Mesir, memulakan kerjaya profesionalnya bersama Al-Ahly sebelum berhijrah ke England pada 2016 untuk beraksi bersama Stoke City dan Huddersfield Town.

Dia menyertai Pyramids pada 2020 dari Huddersfield Town selepas tempoh pinjaman bersama Al-Ahly berakhir, di mana dia memainkan peranan penting membantu kelab itu meraih kejuaraan Liga Juara-Juara CAF pertama mereka selepas menewaskan Mamelodi Sundowns di perlawanan akhir.