sukan

Peminat KDA FC memberi kepercayaan penuh kepada Assifuah

ALOR SETAR: Sumbangan berharga penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ebenezer Assifuah pada aksi Piala FA dan Liga Super ternyata melegakan penyokong Sang Kenari.

Tiga gol yang dihasilkan penyerang dari Ghana ketika membantu Sang Kenari menewaskan Bukit Tambun FC 5-0 pada pusingan 16 Piala FA dan satu gol ketika menewaskan Penang FC pada saingan Liga Super Jumaat lalu ibarat talian hayat yang cukup bermakna buat penyokong.

Justeru, penyokong Kedah mahu pemain licik yang diturunkan pada babak kedua ketika aksi menentang Penang itu diberi lebih peluang dalam usaha memperkukuhkan lagi jentera serangan skuad kendalian Nafuzi Zain.

Menurut Pengerusi Kelab Penyokong Kedah Darul Aman (KEPDA), Nor Hasmadi Hamzah, tahap keyakinan pemain itu kini dilihat kian meningkat dan berada pada tahap yang terbaik.

“Kami selaku penyokong setia berharap Assifuah akan terus dapat meningkat keyakinan dan ketajaman yang sangat diperlukan untuk memastikan pasukan mencapai kemenangan.

“Walaupun beliau bukan penyerang utama, namun ciri-ciri ketajamannya apabila beraksi cukup membantu pasukan dan memberikan harapan untuk mendapatkan gol.

“Kami percaya jika peranan yang lebih luas diberikan kepadanya, beliau mampu menjadi peledak berbisa pasukan,” katanya.

sumber:-BH

Pada saingan Piala FA setakat ini, Assifuah yang juga penjaring terbanyak saingan Piala MFL musim lalu dengan 13 gol, turut berkongsi jumlah tiga gol bersama pemain import Sabah FC Ramon Machado.