sukan

Penambahan ‘saiz’ skuad bagi kejohanan Euro 2024

NYON, Switzerland: UEFA akan mendengar rintihan pengurus pasukan kebangsaan mengenai saiz skuad bagi kejohanan Euro 2024 di Jerman, menurut badan induk bola sepak Eropah itu semalam.

Keputusan untuk kembali kepada skuad 23 pemain ketika pra-COVID 19 sudah disahkan oleh UEFA, selepas ia ditingkatkan kepada 26 bagi Euro 2020 dan Piala Dunia 2022 dan jurulatih sudah melahirkan kebimbangan mereka.

“Kami sudah mengambil maklum komen diluahkan sesetengah jurulatih pasukan kebangsaan mengenai saiz skuad bagi Euro 2024,” kata seorang jurucakap UEFA.

“Satu bengkel kerja dengan pasukan bertanding akan diadakan pada 8 April depan dan ketika itu UEFA akan mendengar pandangan jurulatih. Sebarang idea dalam hal ini kemudiannya akan dipertimbangkan dan dinilai.”

Ketika tugasan antarabangsa terbaharu, jurulatih England, Gareth Southgate dan pengurus Belanda, Ronald Koeman bercakap mengenai isu itu.

“Agak pelik tidak boleh memilih daripada 26 pemain. Agak tidak masuk akal kembali kepada 23,” kata Koeman selepas pasukannya tumpas 2-1 di tangan Jerman, Selasa lalu.

“Anda perlu menangani banyak kecederaan akhir-akhir ini.”

Southgate berkata beliau akan menamakan skuad awal yang besar dan berharap UEFA mengubah semula keputusan mereka.

“Kami akan menamakan skuad yang lebih besar, itu yang kami lakukan sebelum Euro di sini (pada 2021) walaupun kami boleh memilih daripada 26 pemain ketika itu,” kata Southgate.

sumber:-BH

“Ada satu lagi mesyuarat UEFA yang mana terdapat sedikit perbincangan dalam kalangan sesetengah jurulatih mengenai kemungkinan untuk meningkatkannya.”

Tarikh akhir penyerahan senarai skuad kepada UEFA adalah pada 7 Jun. Kejohanan di Jerman itu bermula pada 14 Jun. – REUTERS